VIENNA – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KTM, Stefan Pierer percaya bukan tugas mudah untuk mana-mana pasukan menjadi pencabar utama pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan.
Pierer berkata, perbelanjaan besar perlu dilaburkan oleh setiap pasukan sekiranya berhasrat mahu bersaing merebut kejuaraan dunia memandangkan kos bagi membina jentera terbaik bukan murah.
Justeru, Pierer tanpa berselindung mengakui, KTM tidak mungkin mengeluarkan perbelanjaan lebih pada musim depan memandangkan mereka perlu menguruskan pasukan dalam kelas MotoGP, Moto2 dan Moto3.
“Sudah tentu anda memerlukan bajet sangat besar untuk menjalankan projek seperti ini (mencabar kejuaraan). Saya tahu bukan mudah untuk menjadi salah satu pasukan pencabar utama.
“Secara kasarnya, kita bercakap tentang perbelanjaan berjumlah kira-kira £60.13 juta (RM330.30 juta) pada saingan MotoGP jika mahu sentiasa bersaing di kelompok depan,” katanya.
Pada masa sama, beliau menjelaskan, kelas Moto2 merupakan kategori yang menelan belanja paling sedikit biarpun ia adalah platform di mana pelumba-pelumba ‘singgah’ sebelum dinaikkan ke MotoGP.
“Secara jujur, Moto2 adalah kategori paling murah dalam saingan MotoGP kerana menggunakan enjin standard Triumph. Sementara itu, Kalex juga membekalkan casis yang sesuai untuk semua pengeluar,” ujar Pierer. – AGENSI