Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini memperkenan solat Jumaat dibenarkan dengan jemaah tidak melebihi 50 orang ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Al-Sultan Abdullah menitahkan supaya solat Jumaat dibenarkan di masjid dan surau dengan penjarakan satu meter antara jemaah.
Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah turut perkenan supaya solat fardhu tidak melebihi 20 orang dan jemaah tertakluk kepada keluasan dewan solat masjid dan surau dengan penjarakan satu meter antara jemaah.
“Setelah berbincang dengan Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), keputusannya telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong
“Sukacita dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan titah perkenan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, jemaah bagi solat Jumaat dan solat fardu berkenaan akan ditentukan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Jumaat masing masing melalui jemputan atau kaedah terbaik yang diputuskan bersesuaian di bawah kariah masing masing.
Zulkifli berkata, mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam memutuskan untuk membenarkan pelaksanaan solat Jumaat di masjid dan surau Jumaat ketika penguatkuasaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Menurutnya, kebenaran itu dengan bilangan jemaah yang terhad bergantung kepada pertimbangan pihak berkuasa agama di setiap negeri.
“Saya mengambil maklum akan luahan umat Islam dalam Wilayah Persekutuan yang inginkan kebenaran pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardhu ketika tempoh penguatkuasaan PKPB diteliti semula bagi membolehkan lebih ramai jemaah mengimarahkan masjid dan surau Jumaat dalam Wilayah Persekutuan,” katanya.
Katanya, kerajaan amat prihatin akan usaha pengimarahan rumah ibadah pada masa ini.
Tambahnya lagi, beliau berharap Jawi dapat memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi sebaiknya oleh jemaah demi kemaslahatan bersama. – K! ONLINE