GEORGE TOWN – Bekalan ikan temenung atau kembung yang banyak di pasaran negeri ini semalam mengejutkan ramai peniaga hasil laut itu.
Rata-rata peniaga ikan di pasar awam daerah Barat Daya dan Timur Laut mendakwa, mereka sudah beberapa minggu berdepan kesukaran untuk memperoleh stok ikan temenung daripada pembekal.
Seorang peniaga ikan yang hanya mahu dikenali sebagai Shreen, 49, berkata, dia tidak menyangka kuantiti bekalan itu tiba-tiba menjadi banyak dan dihantar pembekal pada awal pagi semalam.
Menurutnya, sebelum ini pembekal memberi alasan faktor cuaca tidak menentu ketika ini termasuk musim angin Timur Laut dikatakan menjadi punca utama kekurangan bekalannya.
“Hari ini (semalam) ikan kembung dihantar dalam jumlah banyak. Saya menerima satu tong bekalan ikan temenung dengan anggaran kira-kira 50 hingga 60 kilogram (kg).
“Difahamkan, ada juga peniaga menerima kira-kira 100 kg ikan itu. Saya pun terkejut sebab tiba-tiba ikan temenung jadi banyak dan semuanya dalam keadaan segar, isi lemak dan bersaiz besar,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Semalam, harga bagi ikan temenung bersaiz besar dijual RM18 sekilogram (11 hingga 12 ekor) dan RM8 untuk 500 gram (g) (lima hingga enam ekor), manakala saiz kecil pula dijual RM14 sekilogram dan RM7 hingga RM8 (setengah kilo).
Harga nelayan kepada peraih pula dianggarkan antara RM12 hingga RM14 sekilogram.
Sementara itu, seorang pembeli, Siti Rapiah Mahmud, 62, pula memberitahu, dia juga tidak menyangka bekalan ikan jenis itu dengan saiz agak besar kembali berada di pasaran.
“Sudah lama saya tak beli dan jumpa ikan temenung di pasar. Apatah lagi cuaca kini yang tidak menentu. Jika ada pun ikan bersaiz nipis dan kurang sejengkal.
“Hari ini (semalam), memang dapat beli ikan temenung pada harga RM8 setengah kilo. Bukan sahaja besar, tetapi isinya pula tebal. Ada juga peniaga yang jual ikan saiz kecil dan nipis.
“Saya beli sebanyak 500 gram dengan kuantiti hanya lima ekor ikan temenung sahaja. Cukuplah untuk dijamu bersama anak dan cucu dalam dua hari ini,” ujarnya.
Semalam, Kosmo! melaporkan, perairan dari Pulau Rimau ke Pulau Kendi di negeri ini kini dikatakan menjadi tumpuan kira-kira 200 nelayan pantai bahagian Selatan negeri ini termasuk dari Kedah serta Perak untuk mencari hasil tangkapan ikan temenung setiap hari.
Nelayan sanggup menghabiskan masa dengan keluar dari awal pagi dan pulang petang semata-mata mahu mencari hasil laut lumayan itu.