fbpx

Dilema pembeli kereta ‘murah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Rakan penulis yang baru menyambut hari kelahirannya menerima hadiah paling istimewa daripada suami berupa sebuah kereta baharu yang telah dilancarkan pada tahun 2022 dengan harapan dapat memandu untuk sesi percutian musim cuti sekolah ini.

Perkhabaran gembira daripada pengedar kereta untuk sabar menunggu beberapa bulan hanya tinggal janji manis kerana makluman daripada ibu pejabat selepas dibuat semakan semula berhubung tempoh menunggu untuk kenderaan baharu itu adalah selama sembilan bulan.

“Mungkin saya akan pakai kereta baharu itu bila sambut hari jadi pada tahun 2023 nanti,” jawab wanita ini dengan rasa kecewa kerana terpaksa memandu keretanya yang agak uzur untuk balik ke kampung.

Lain pula dengan perihal seorang ibu yang telah menempah sebuah kereta ‘comel’ yang berharga di bawah RM45,000 kepada anak bujangnya yang baharu sahaja lulus ujian memandu dengan harapan kereta itu akan memudahkan perjalanan anaknya di kampus berulang-alik ke rumah sewa.

Ibu tersebut terpaksa reda menunggu kenderaan tersebut sehingga bulan Ramadan tahun depan yang mana apa yang dibimbangkan adalah kemahiran dan semangat memandu anaknya itu bakal lenyap ditelan masa, malah terpaksa belajar memandu semula untuk membiasakan dirinya memegang stereng kereta.

Lebih ‘menyakitkan’ hati apabila ada khabar berita, syarikat tersebut akan melancarkan model baharu pada tahun depan yang mana timbul kebimbangan sama ada kapasiti syarikat dapat memenuhi tempahan yang terus bertambah dari semasa ke semasa.

Mereka yang telah menempah kereta berharga mampu milik itu kini tiada pilihan, mereka hanya perlu menunggu dan menjadi penanti setia bagi sebarang khabar berita gembira daripada pengedar kereta masing-masing.

Lain pula dengan pelanggan yang menempah kereta ‘mahal’ atau ‘harga kayangan’ yang mana terdapat lebihan stok di mana-mana pusat pameran kereta dan ia sedia dibawa pulang oleh mana-mana pembeli selepas perjanjian pinjamannya selamat dimeterai.

Dalam keaktifan pengeluar kereta bakal melancarkan model-model baharu pada tahun 2023 ekoran permintaan yang baik daripada pasaran dan pelanggan, mereka seharusnya memberi perhatian serius kepada tempoh masa menunggu pelanggan itu.

Jangan begitu teruja menguar-uarkan rekod jualan yang dicatat setiap bulan dengan mempromosikan model kereta yang terlaris di pasaran sedangkan tempoh menunggu lama itu belum diselesaikan.

Alasan pandemik dan permintaan terlalu tinggi tidak boleh diterima lagi kerana sudah dua tahun ia berlalu dan syarikat perlu menyusun strategi untuk menyiapkan stok yang tertangguh terlebih dahulu.

“Jika diberi pilihan sekiranya ada satu lagi pengeluar kereta tempatan yang menjual kereta pada harga mampu milik dengan tempoh menunggu hanya sebulan dua, pastinya saya akan menjadi pelanggan pertama mereka,” tegas seorang rakan yang kecewa menunggu kereta baharunya itu sejak empat bulan lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI