PETALING JAYA – Tidur berdengkur bukan petanda seseorang itu cukup tidur, bahkan jika tidak dirawat boleh menimbulkan komplikasi seperti darah tinggi, serangan jantung dan strok.
Menerusi hantaran MedTweetMY memaklumkan, jika seseorang itu kerap berdengkur sewaktu tidur, sering mengantuk dan tidak bertenaga di siang hari berkemungkinan dia mengalami Obstructive Sleep Apnea (OSA).
“OSA ialah keadaan di mana seseorang itu kerap berhenti bernafas (apnea > 10 saat) ketika sedang tidur. Gejala utamanya adalah berdengkur.
“Berdengkur adalah bunyi bising semasa bernafas ketika tidur. Ia terhasil apabila tisu di bahagian atas saluran pernafasan bergeser dan bergetar antara satu sama lain. Ia berpunca apabila terdapat separa sekatan pada saluran atas pernafasan,” katanya pada ciapan Twitter.
Punca-punca OSA ialah kegemukan yang menyebabkan leher pendek dan besar, masalah hidung iaitu tulang hidung bengkok atau ‘polips’ selain masalah tekak iaitu tonsil bengkak, otot lelangit lembut dan anak tekak (uvula) panjang.
“Gejala OSA ialah dengkur kuat, mengantuk melampau di waktu siang, pasangan anda mengadu anda berhenti nafas ketika tidur, letih dan lemah di siang hari, terbangun akibat tercekik serta sakit kepala di waktu pagi,” katanya.
Bagi pemeriksaan untuk kepastian OSA, doktor telinga, hidung dan tekak (ENT) akan membuat pemeriksaan secara lengkap termasuk hidung, tekak dan ‘larinks’ serta ujian tidur untuk mengetahui tahap keterukan masalah OSA.
Untuk rawatan pula, penggunaan mesin CPAP, pembedahan hidung, tonsil, lelangit atau anak tekak, mengurangkan berat badan (10 peratus) dan amalkan gaya hidup sihat (kaedah paling murah dan efektif) selain menjauhi rokok dan minuman beralkohol. – KOSMO! ONLINE