LONDON – Monarki Britain, Raja Charles III menerima kunjungan hormat Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang merupakan pemerintah monarki paling lama berkhidmat di dunia di Istana Windsor kelmarin, lapor portal berita MailOnline.
Raja Charles III, 74, memakai sut biru, kemeja putih dan tali leher berbintik berwarna biru, manakala sapu tangannya di poket atas mempunyai corak biru bertanda.
Sementara itu, Sultan Hassanal Bolkiah, 76, memilih sut hitam lengkap dengan tali leher ungu dengan sapu tangan yang kelihatan menonjolkan rekaan ‘paisley’.
Walaupun kedua-dua pemimpin diraja itu mempunyai usia hampir sama, mereka bertakhta bagi suatu tempoh yang berbeza antara satu sama lain.
Raja Charles III menaiki takhta Britain selepas kematian bondanya, Ratu Elizabeth II pada 8 September lalu dan menjadi ketua negara selama kira-kira tiga bulan.
Sementara itu Sultan Hassanal Bolkiah yang menaiki takhta pada tahun 1967 sudah memerintah selama kira-kira 55 tahun, menjadikannya raja paling lama berkhidmat di dunia selepas kematian Ratu Elizabeth II.
Setelah naik takhta susulan kematian ayahandanya, Raja George VI pada Februari 1952, Ratu Elizabeth II sebelum ini memerintah Britain selama 70 tahun dan 214 hari.
Sebelum kematiannya, Ratu Elizabeth II adalah pemerintah diraja kedua paling lama berkhidmat di dunia selepas Louis XVI dari Perancis yang memerintah selama 72 tahun dan 110 hari antara 14 Mei 1643 sehingga 1 September 1715.
Tidak seperti ratu itu yang tidak berkongsi pandangan politik semasa pemerintahannya, Sultan Hassanal Bolkiah menjadi Perdana Menteri Brunei sejak negara itu mencapai kemerdekaan daripada Britain pada tahun 1984.
Seperti ayahandanya, Sultan Brunei itu diberikan anugerah Sir oleh Ratu Elizabeth II dan kedua-dua mereka pernah bertemu beberapa kali sama ada di London atau di Bandar Seri Begawan.
Sultan Hassanal Bolkiah dilahirkan pada 15 Julai 1946 dan menuntut di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pelajaran ke Akademi Tentera Diraja Sandhurst di Britain.
Ayahandanya, Sultan Omar Ali Saifuddien III telah turun takhta pada tahun 1967 dan digantikan dengan anakandanya itu pada 5 Oktober tahun yang sama. – Agensi