KUCHING – Seorang lelaki warga Indonesia ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika menjala ikan bersama seorang rakannya di Sungai Tabuan di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, mayat mangsa, Stepanus Selat, 22, dijumpai pada pukul 12.20 tengah hari oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira tiga meter dari lokasi dia dilaporkan jatuh.
“Pasukan SAR menaikkan mayat mangsa ke dalam bot dan dibawa ke Pos Kawalan Bomba (PKB). Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bomba menerima laporan mengenai kehilangan mangsa daripada rakannya, Sigi Kaya pada pukul 6 petang semalam setelah menyedari mangsa hilang ketika menjala ikan.
Katanya pada masa itu, mangsa hanya berada pada jarak lima meter darinya.
“Ketika mengangkat jala, pengadu menoleh ke belakang dan mendapati mangsa tiada. Hanya selipar berada di tempat kali terakhir dia berdiri,” katanya. – KOSMO ONLINE