PETALING JAYA – Dua wanita yang juga penumpang bas ekspres mengalami cedera ringan apabila kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan selepas terlanggar bahagian belakang lori di Kilometer (KM) 457.4 Lebuh Raya Utara-Selatan, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan lori dan bas ekspres dari Taiping menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada pukul 3.30 pagi.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila bas tersebut cuba mengelak sebuah lori yang mengubah haluan sebelum terlanggar bahagian belakang lori tersebut.
“Akibat rempuhan yang berlaku, bas berkenaan berpusing dan terhenti di lorong kecemasan arah sama.
“Dua orang penumpang wanita mengalami cedera ringan telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Fakhrudin, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil membuat laporan di balai polis berdekatan atau berhubung terus dengan Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Che Mat Nasir Che Muda di talian 019-9154088 bagi membantu siasatan. -KOSMO! ONLINE.