TANGKAK – Seorang wanita maut selepas kereta Perodua Viva dipandunya gagal membuat pusingan U sehingga dirempuh sebuah bas yang datang dari arah belakang di pekan Bukit Gambir, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd. Fadhil Minhat berkata, dalam kejadian pukul 8.34 pagi itu, mangsa berusia 24 tahun itu disahkan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
“Polis menerima laporan pagi tadi berhubung kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu kereta jenis Perodua Viva dan bas ekspres yang dilaporkan dari arah Bukit Gambir menghala ke Sungai Mati.
“Kedua-dua kenderaan ini dari arah sama, namun bas yang berada di belakang kereta Viva telah merempuh kenderaan mangsa ekoran tindakan wanita itu yang secara tiba-tiba membuat pusingan U di pekan ini,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Mohd. Fadhil, kenderaan mangsa sebelum itu berada berhampiran kedai dan sedang membuat pusingan U di kawasan garisan berkembar untuk menghala ke arah Bukit Gambir.
“Pemandu bas yang tiba di lokasi kejadian cuba memberhentikan kenderaan namun gagal kerana jarak mereka terlalu dekat sehingga terlanggar bahagian kanan pintu hadapan kereta mangsa.
“Pemandu bas berusia 51 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan mangsa yang maut kini dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE