RIO – Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF) dilaporkan bersedia untuk menghubungi Pep Guardiola dalam usaha memberikan tawaran jawatan sebagai pengendali baharu pasukan kebangsaan Brazil.
The Selecao ketika ini sedang mencari jurulatih baharu ekoran peletakan jawatan Tite selepas pasukan tersebut terkandas di suku akhir Piala Dunia apabila tewas menerusi penentuan sepakan penalti berdepan Croatia.
Menurut laporan, CBF telah menamakan Guardiola sebagai salah seorang calon yang mereka inginkan biarpun pengurus dari Sepanyol itu baharu sahaja menandatangani kontrak baharu bersama Manchester City yang menyaksikannya kekal di Etihad sehingga 2025.
Presiden CBF, Ednaldo Rodrigues dilaporkan mahu mendapat jawapan daripada Guardiola sama ada berminat atau sebaliknya dengan tawaran berkenaan biarpun mereka mungkin perlu menunggu sehingga pengurus itu menghabiskan musim ini terlebih dahulu bersama City.
Secara tradisinya, The Selecao hanya memilih jurulatih warga Brazil sahaja, namun selepas kegagalan Tite, CBF dikatakan bersedia untuk mengubah pendirian tersebut dan melantik jurulatih luar.
Bekas presiden kelab Corinthians, Andres Sanchez dilaporkan mencadangkan nama Juninho yang merupakan pembantu Tite bagi mengambil alih jawatan berkenaan, namun CBF mahu mencari individu yang lebih sesuai terlebih dahulu.
Selain itu, beberapa nama lain seperti pengendali Palmeiras, Abel Ferreira yang meraih dua kemenangan Copa Libertadores pada 2020 dan 2021, pengendali Fluminese, Fernando Diniz dan Jurulatih Gremio, Renato Portaluppi dilaporkan turut berada dalam senarai. – AGENSI