fbpx

‘Bukan nak cantik, aku tua dah’ – Aishah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AISHAH menjalani pembedahan pintasan usus bagi mengembalikan tahap kesihatannya.

PETALING JAYA – Penyanyi Datuk Aishah terkilan apabila pengacara, Sherry Alhadad memberikan fakta mengelirukan tentang pembedahan bariatrik sebagai jalan mudah untuk kurus, berbanding melihat kaedah tersebut dari sudut keperluan kesihatan.

Kata pemilik nama penuh Wan Aishah Ariffin, 57, itu, komen pukul rata hos dan pelakon yang berjaya menurunkan berat badan menerusi pengambilan produk itu membuatkan dirinya terluka.

“Saya terpanggil untuk merakamkan video ini kerana berasa tidak selesa apabila ada orang kritik mengenai pembedahan bariatrik atau pintasan usus.

“Satu fakta yang awak sebut buat kami semua terluka iaitu jalan mudah untuk kurus. Sedangkan prosedur ini merupakan usaha terakhir bagi kami yang mempunyai masalah kesihatan.

“Jadi awak jangan pukul rata memandangkan kami lakukan pembedahan ini disebabkan faktor perubatan, bukan kosmetik untuk tampil cantik.

“Awak tak tahu (mungkin) dalam kalangan artis mempunyai penyakit hernia dan gastrik. Jangan ingat buat pembedahan ini sebagai saja-saja,” katanya menerusi luahan dalam media sosial.

Luah penyanyi Janji Manismu itu lagi, dia tidak kisah mana-mana individu menjual produk bagi tujuan kurus, tetapi tegasnya jangan sesekali memperlekeh keputusan orang lain memilih pembedahan.

Mengambil faktor dirinya, sebelum ini dia telah mencuba pelbagai ikhtiar bagi menurunkan berat badan yang selama ini menjejaskan tenaga serta menurunkan tahap kesihatannya.

Namun, usaha yang dilakukan tidak menunjukkan sebarang perubahan termasuk bersenam apabila akhirnya memberi kesan terhadap lututnya.

“Risiko prosedur ini sama dengan pembedahan lain, jadi jangan ingat saya tak takut. Kita umpama berperang dengan berat badan sendiri.

“Saya sudah cuba semua cara, tetapi turun sikit kemudian naik semula. Pernah dalam tempoh sebulan berat saya tak turun pun walau satu kilogram (kg).

“Saya rasa putus asa kerana lutut semakin sakit, malah ketika berjalan di Eropah saya dalam keadaan kesakitan yang sukar diungkapkan,” katanya.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, langkah meneruskan niat menjalani prosedur saranan doktor itu juga dilakukan kerana enggan menyusahkan anak-anak.

“Bukan nak cantik, aku tua dah,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Aishah membuat pembedahan pintasan usus sekitar 2018 dan dalam tempoh dua tahun dia berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 33kg daripada berat asal.

Pembedahan tersebyt membantu seseorang menurunkan berat badan dengan membuat perubahan kepada sistem pencernaan sama ada mengecilkan perut atau membuat pintasan sebahagian daripada usus kecil. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI