fbpx

Mahkamah: Pelajar institusi latihan kemahiran didakwa raba kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang pelajar tahun akhir sebuah institut latihan kemahiran didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan yang dikenalinya di media sosial, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Adib Hishamuddin, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun antara pukul 4 petang sehingga 9 malam di Taman Bukit Beruang dalam daerah Melaka Tengah pada 14 November lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama dengan cara meraba bahagian sulit mangsa sama di tandas awam dan bilik persalinan perempuan di sebuah kompleks tenis di Ayer Keroh pada pukul 12 tengah hari, 20 November lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh yang sedang menuntut dalam jurusan elektrik itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017.

Difahamkan, tertuduh mengenali mangsa melalui media sosial sejak beberapa bulan yang lalu.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius kerana melibatkan kanak-kanak yang baru berusia 11 tahun.

Peguam Andrew Lourdes yang mewakili tertuduh merayu agar jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya masih belajar di sebuah institusi latihan kemahiran di Perak dan tidak mempunyai pendapatan.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Darmafikri membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tertuduh tidak menganggu mangsa yang juga saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Beliau kemudian menetapkan tarikh 11 Januari depan sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI