KUALA LUMPUR – Volvo Car Malaysia melancarkan model SUV baharu, C40 Recharge Pure Electric yang merupakan kenderaan elektrik.
Menurut Pengarah Urusannya, Charles Frump, Volvo C40 Recharge Pure Electric merupakan kenderaan dengan pemasangan tempatan (CKD) dan merupakan SUV Coupe yang pertama hadir dengan Recharge Pure Electric.
Katanya, model itu hadir dengan trenkuasa elektrik sepenuhnya yang menghasilkan output (keluaran) 408hp dan 660Nm tork.
“SUV Coupe Pure Electric ini mampu membuat pecutan dari 0 hingga 100 kilometer sejam (kmj) dalam masa hanya 4.7 saat.
“Dengan kapasiti bateri Lithium Ion 78 kWh, Volvo C40 Recharge Pure Electric ini mampu mencapai jarak perjalanan maksimum sejauh 450 kilometer (km) dengan satu pengecasan penuh,” katanya ketika majlis pelancaran di St. Regis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Tambahnya, Volvo C40 Recharge Pure Electric itu mampu mengecas sehingga 80 peratus dalam masa 28 minit sahaja.
“Model ini hadir dengan lima pilihan warna seperti putih, hitam, perak, hijau dan biru serta ditawarkan pada harga RM288,888,” tambahnya.
Jelasnya, C40 Recharge Pure Electric itu hadir dengan jaminan seperti lima tahun waranti kenderaan dan lapan tahun waranti bateri atau 160,000km (mana-mana tiba dahulu).
“Selain itu Volvo Car Malaysia turut menawarkan lima tahun Volvo On Call (Bantuan tepi jalan), lima tahun Volvo Service Included (VSI) atau 100,000km (mana-mana tiba dahulu), EmpatTahun Digital Service dan Kabel Pengecas,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE