fbpx

Mahkamah: Ejen hartanah didenda main judi Piala Dunia Qatar 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kompleks Mahkamah Seremban.

SEREMBAN – Seorang ejen hartanah didenda RM2,000 di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan bermain judi pertaruhan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 secara dalam talian.

Tertuduh, Tan Kai Sen, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara enam bulan jika tertuduh gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Kai Sen didapati bermain judi pertaruhan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 secara dalam talian dengan menggunakan telefon bimbitnya di dalam bangunan tempat awam.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran di Pusat Komersial Saujana, S2 Height di Seremban lebih kurang pukul 3.30 pagi, 14 Disember 2022.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953(Akta 495).

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Iwana Sakinah Mohd Lajis memohon agar tertuduh diberi hukuman denda minima kerana itu merupakan kesalahan pertama dilakukannya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd. Azman.

Berdasarkan fakta kes, pada pukul 3.30 pagi tadi sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai telah menahan tertuduh dan semakan telefon bimbit mendapati terdapat paparan aplikasi aktiviti untuk tujuan perjudian pertaruhan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI