PETALING JAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) akan menjalin kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi menyelesaikan isu bekalan makanan.
Menterinya, Mohammad Sabu berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayob semalam dan satu rangka kerjasama serta strategi telah disusun untuk menyelesaikan isu berkenaan.
Jelas beliau, pertemuan yang berlangsung hampir dua jam itu telah membincangkan isu kecukupan bekalan makanan serta isu-isu yang sedang dihadapi dan bersangkut-paut dengan kedua-dua kementerian.
“Saya telah dimaklumkan tentang usaha-usaha yang sedang dijalankan oleh kedua-dua kementerian ini dan saya harap segala perancangan dan strategi yang telah diatur itu dapat dijayakan untuk kebaikan Malaysia.
“Kami (MAFS) dan (KPDN) juga sepakat untuk terus bekerja bersama-sama demi Malaysia yang lebih baik,” katanya di laman Facebook hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Kota Raja itu, pertemuan tersebut turut disertai Ketua Setiausaha (KSU) MAFS dan KSU KPDN serta para pegawai dari kedua-dua kementerian. – KOSMO! ONLINE