KLANG – Seorang pempengaruh media sosial mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan penipuan berjumlah RM25,900 bagi pinjaman tidak wujud bagi pembelian rumah, empat tahun lalu.
Siti Nur Atiqah Baba, 33, yang hadir dengan bertongkat dalam prosiding itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noorjidah Mohd. Jusan.
Nur Atiqah yang merupakan perunding hartanah itu dituduh memperdayakan seorang wanita berusia 29 tahun untuk pembayaran deposit 10 peratus berjumlah RM25,900 dengan menyatakan pinjaman rumah dari sebuah bank yang tidak wujud telah diluluskan.
Kesalahan itu dilakukan antara 2 hingga 7 Mac 2018 di sebuah pasar raya besar di Klang.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hanis Zulkapli menawarkan jaminan sebanyak RM10,000.
Bagaimanapun Peguam R. Nadarajan memohon jaminan sebanyak RM2,000 memandangkan anak guamnya ketika ini sedang cuti sakit sejak dua bulan lalu sehingga menjejaskan pendapatannya.
Mahkamah menetapkan jaminan RM4,500 dan sebutan semula kes pada 13 Februari tahun depan. -KOSMO!ONLINE