fbpx

GRO makin ligat, 17 dicekup leka layan pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara GRO yang dicekup JIM Melaka di pusat hiburan sekitar Bandaraya Melaka, kelmarin.

MELAKA – Seramai 17 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing dicekup ketika sedang leka melayan pelanggan di pusat hiburan tidak berlesen di sekitar Bandaraya Melaka, di sini, kelmarin.

Dalam operasi selama 12 jam berakhir pukul 1 pagi itu, kesemua GRO itu antara 23 individu yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka termasuk seorang lelaki warga tempatan disyaki ejen kepada gadis pelayan berkenaan.

Pengarah JIM Melaka, Anirwan Fauzee berkata, serbuan tersebut merupakan hasil aduan orang awam mengenai kegiatan GRO yang semakin aktif di pusat hiburan.

“Hasil serbuan di dua buah pusat hiburan dan sebuah refleksologi, kita berjaya menahan 23 individu termasuk 17 GRO berusia antara 20 hingga 30 tahun serta seorang lelaki warga tempatan dipercayai ejen berusia 30-an.

“GRO ini diuruskan oleh ejen terbabit dan akan bergerak mengikut lokasi yang mempunyai permintaan tinggi, kita juga percaya mereka ini bergiat aktif pada hujung minggu,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, semalam.

Tambahnya, mengikut pecahan warga asing yang ditahan terdiri daripada 12 warga Vietnam, Thailand (empat), Myanmar (dua), Laos (satu), China (tiga) dan baki adalah Indonesia.

Jelasnya, kesemua mereka ditahan selepas dikesan melakukan kesalahan di bawah Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen temasuklah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, melanggar syarat Pas atau Permit.

Dalam pada itu beliau memberitahu, pemeriksaan lanjut ke atas sebuah premis kafe hiburan turut mendapati ia telah beroperasi tanpa lesen yang sah.

“Premis itu beroperasi dalam keadaan mencurigakan di mana pintu utama ditutup rapat dan ada laluan khas yang dikawal oleh penjaga diluar premis berkenaan.

“Kita juga sedang mengesan pemilik kafe hiburan tersebut untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kata Anirwan, mereka yang ditahan telah dibawa ke pejabat Imigresen Bahagian Penguatkuasa untuk siasatan lanjut dan sebanyak 11 Saman Kepada Saksi telah dikeluarkan untuk hadir membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI