fbpx

Buaya keluar dari habitatnya – Perhilitan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar seekor buaya di atas jalan Kampung Air Hitam di Kuantan.

KUANTAN – Pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengesahkan kewujudan seekor buaya yang tular dalam satu video berdurasi 29 saat di media sosial sejak kelmarin.

Menerusi video berkenaan, seekor buaya dilihat berada atas jalan Kampung Air Hitam berhampiran Kampung Seri Damai.

Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, buaya berkenaan keluar dari habitatnya di Sungai Air Hitam iaitu anak sungai kepada Sungai Belat yang merupakan habitat buaya.

“Pemantauan pada Selasa mendapati kelibat buaya berkenaan tiada di lokasi. Namun pihak Perhilitan menasihati penduduk sekitar dan pengguna jalan raya menggunakan laluan berhampiran berwaspada semasa menggunakan jalan berkenaan kerana anak sungai berkenaan adalah habitat kepada buaya berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya lagi, pihak jabatan juga ingin menasihati penduduk di kawasan berhampiran Sungai Belat berwaspada dan menghindari kawasan berhampiran dengan sungai.

“Kejadian air pasang besar dan banjir akan menyebabkan paras air sungai melimpah ke tebing sungai dan menyebabkan spesies hidupan liar seperti buaya akan bergerak keluar dari habitat asalnya,” katanya.

Rozidan dalam masa sama turut mengingatkan orang ramai untuk mengelakkan mengadakan aktiviti berhampiran atau di sungai yang mempunyai populasi buaya.

“Jangan menghampiri sarang, buaya atau cuba menangkap anak buaya kerana naluri keibuan buaya kuat dan akan menjaga sarang dan anak mereka sepanjang musim membiak dan akan bertindak ganas sekiranya sarang dan anaknya terganggu.

“Buatkan bunyi bising bagi mengelakkan dihampiri buaya, bunyi bot akan menyebabkan buaya kurang selesa dan akan menjauhi bot,” katanya.

Orang ramai diminta memaklumkan segera kepada pihak Perhilitan di talian 09-5733 811 atau talian hotline di 1-800-88-5151 jika terserempak dengan buaya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI