ALOR SETAR – Seorang lelaki yang bertindak terjun ke dalam Sungai Kedah ketika melarikan diri daripada polis ditemui mati lemas pada pukul 3.34 petang tadi.
Lelaki berusia 45 tahun itu bertindak sedemikian bagi mengelak ditahan polis yang melakukan serbuan dadah kira-kira pukul 1 tengah hari.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Sayani Saidon berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 44 meter dari tebing sungai tersebut yang mempunyai kedalaman satu meter
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk bedah siasat.
“Setakat ini pihak polis masih mengesan seorang lagi individu yang turut terjun ke sungai tersebut bersama mangsa dan sempat berenang ke tebing,” katanya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun ke dalam Sungai Kedah ketika cuba melarikan diri daripada polis di Taman Limau Manis, Jalan Alor Mengkudu, dekat sini hari ini.
Lelaki berusia 45 tahun itu merupakan salah seorang daripada tiga tokan dadah yang cuba diberkas di lokasi berkenaan. – KOSMO! ONLINE