fbpx

Saya tak cakap apa-apa tentang kahwin – Shuib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHUIB berkata, penerimaan ibunya terhadap hubungannya bersama seorang usahawan dikenali sebagai Watie sangat baik.

KUALA LUMPUR – Pelawak dan juga penyampai radio, Shuib menafikan dirinya kini sedang sibuk membuat persiapan untuk melangsungkan majlis pernikahan dengan wanita dikenali sebagai Watie.

Bahkan, Shuib atau nama lengkapnya Shahmira Muhammad, 38, mengakui tidak suka apabila tular berita sebegitu kerana enggan seolah-olah dirinya dituduh membelakangkan keluarga.

Shuib ketika ditemui Kosmo! Online berkata, dia enggan bercakap lebih tentang perkara itu (jodoh) dan hanya berserah pada perancangan yang telah diatur oleh Allah SWT.

“Kalau bab kahwin, banyak yang tanya saya adalah kawan-kawan. Tentang jodoh, saya berserah pada Allah SWT.

“Cuma kalau benda tak betul saya kena tegur. Ada dakwaan kata saya dah tempah katering, baju perkahwinan dan sebagainya. Tapi tak ada pun,” ujarnya kepada Kosmo! Online.

Ujar bapa kepada empat orang cahaya mata itu lagi, dia tidak akan sorok tentang perancangan untuk berkahwin dan sedia berkongsi dengan semua.

Kata Shuib, dia enggan dilihat seolah-olah membelakangkan keluarga sendiri jika ada berita yang tidak keluar daripada mulutnya diterbitkan dalam laporan media.

“Saya tidak akan sorok (pernikahan). Saya serahkan pada Allah. Sudah tentu saya nak yang terbaik untuk diri sendiri dan akan sentiasa berdoa semoga Tuhan mudahkan jalan serta hadirkan orang-orang yang baik.

“Saya tidak suka benda-benda yang saya tak cakap, tapi keluar. Saya takut nanti keluarga terasa saya membelakangkan mereka,” jelasnya.

Ketika disoal tentang penerimaan ibunya terhadap wanita bergelar usahawan itu, Shuib yang ditemui sewaktu sidang media program The Masked Singer di sini sebentar tadi berkata, dia melihat ibunya selesa dan okey dengan Watie.

“Kalau saya nak berkawan dengan seseorang, antara individu yang saya kena tanya ialah ibu. Bila tengok ibu saya okey dan selesa dengan dia (Watie), itu menunjukkan satu permulaan yang baik,” ujarnya.

Tentang anak-anak pula, penyampai radio Suria FM itu memaklumkan anak-anaknya sudah lama mengetahui mengenai Watie, namun tidak bertanya tentang perkara tersebut kepadanya.

“Tapi apabila sudah diketahui umum, mereka mengusik saya berhubung perkara itu,” jelasnya.

Terdahulu, sejak kematian Allahyarham Siti Sarah akibat Covid pada 9 Ogos tahun lalu, Shuib kerap dikaitkan dengan beberapa selebriti wanita tanah air.

Antara nama yang sering disebut ialah Siti Nordiana, Wan Sharmila dan Zara Zya.

Shuib mendirikan rumah tangga dengan Siti Sarah pada 26 Februari 2011.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin dan Ayash Affan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI