PARIS – Persiapan juara dunia 2021, Fabio Quartararo menjelang perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim sedikit terganggu apabila pelumba Perancis itu mengalami kecederaan tangan kirinya.
Quartararo menegaskan, tangan kirinya mengalami keretakan ketika menjalani latihan motocross kelmarin, namun tiada sebarang pembedahan perlu dilakukan.
Kini, pelumba berusia 23 tahun itu mempunyai masa untuk berehat sebelum memulakan perlumbaan sebenar pada 26 Mac depan di Grand Prix (GP) Portugal.
“Semalam (Ahad) saya mengalami kemalangan sewaktu menjalani latihan motocross dan saya mengalami sedikit keretakan di tangan kiri.
“Tiada pembedahan perlu dilakukan dan kini masa untuk pulih,” katanya.
Sebelum berlepas ke Portugal, Quartararo akan menghadapi aksi ujian pramusim di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 10 Februari tahun depan.
Pada musim 2022, Quartararo gagal mempertahankan gelaran dunia MotoGP apabila sekadar berpuas hati di tempat kedua selepas mengutip 248 mata.
Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia melakukan kejutan apabila menjulang gelaran sulung MotoGP sejurus mengutip 265 mata. – AGENSI