GEORGE TOWN – Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang menyangkal dakwaan yang mengaitkan gaji kecil menjadi punca utama golongan muda enggan bekerja dalam sektor perhotelan.
Pengerusinya, Tony Goh berkata, faktor gaya hidup anak muda yang mementingkan kebebasan dan tidak mahu terikat dengan majikan menyebabkan mereka enggan bekerja di hotel.
“Gaji asas yang ditawarkan bagi sektor perhotelan sama seperti gaji minimum sektor lain sekitar RM1,600 hingga RM1,700.
“Malah ada hotel yang tawarkan sehingga gaji asas sehingga RM1,800.
“Selain itu, di hotel ada bayaran sekiranya pekerja bekerja lebih masa. Jadi, soal gaji bukanlah faktor utama yang menjadi punca orang muda tidak mahu bekerja dalam bidang ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurutnya, selain mahukan kebebasan golongan muda juga lebih gemar bekerja sendiri seperti menjalankan perniagaan dan terlibat dalam ekonomi gig.
“Sekarang ekonomi semakin berkembang dan anak muda telah mempunyai banyak pilihan untuk bekerja,” ujarnya.
Tambahnya, golongan muda juga dikatakan tidak mempunyai daya tahan untuk melayan kerenah pelanggan ketika bekerja di hotel.
“Orang muda zaman ini tidak punya kesabaran seperti kita dahulu, ada yang sehari sahaja bekerja di hotel esoknya mereka tidak datang lagi.
“Bila kita tanya, mereka beritahu tidak suka melayan kerenah pelanggan, jadi sebab itu mereka banyak pilih bekerja sendiri,” katanya.
Berita berkaitan: Kerja hotel penat, gaji murah