GEORGE TOWN – Perairan dari Pulau Rimau ke Pulau Kendi di negeri ini kini dikatakan menjadi tumpuan kira-kira 200 nelayan pantai bahagian Selatan negeri ini termasuk dari Kedah serta Perak untuk mencari hasil tangkapan ikan temenung setiap hari.
Nelayan sanggup menghabiskan masa dengan keluar dari awal pagi dan pulang pada waktu petang semata-mata mahu mencari hasil laut lumayan itu.
Di sebelah Pantai Timur, musim angin Timur yang berlaku sejak Oktober lalu dan dijangka berakhir hingga April tahun depan menyebabkan kebanyakan nelayan tidak mampu turun ke laut akibat ribut.
Namun, situasi tersebut dikatakan tidak berlaku di sebelah Selatan negeri ini dan keadaan laut dilaporkan tenang meskipun cuaca yang tidak menentu.
Seorang nelayan di Teluk Kumbar, Roslizan Ramli, 41, berkata, suasana di perairan dari Pulau Rimau ke Pulau Kendi kini bagaikan pesta lubuk mencari ikan temenung ketika ini.
Menurutnya, hampir 200 sampan nelayan termasuk dari Kuala Muda di Kedah dan Perak akan datang ke situ setiap hari.
“Rutin keluar menangkap seperti biasa. Saya akan keluar selepas subuh dan pulang semula ke jeti pada pukul 1 tengah hari.
“Keadaan air laut tenang dan kadangkala angin. Perubahan iklim dipercayai menyebabkan banyak populasi ikan temenung di kawasan perairan berkenaan.
“Memang ini yang dinamakan rezeki untuk semua nelayan. Dahulu, nak dapat 10 atau 20 kilogram (kg) temenung pun payah. Tetapi hari ini, saya akan membawa pulang kira-kira 100 hingga 200kg temenung setiap hari,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, nelayan dari Kedah dan Perak sanggup menunggu sehingga pukul 4 petang dan akan membawa pulangan hasil laut sehingga satu tan.
“Sebelum peralihan musim atau sebelum Oktober lalu, ikan temenung hanya terdapat di bahagian tengah, namun kini populasinya sudah boleh diperoleh di tepi perairan ini.
“Kami berkongsi rezeki secara beramai-ramai. Tidak langsung tergugat atau terkesan dengan kebanjiran nelayan dari negeri sebelah,” ujarnya.
Ketika ini, ikan temenung dijual pada harga RM12 hingga RM13 sekilogram.
Sementara itu, Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai, Universiti Sains Malaysia, Prof. Datuk Aileen Tan pula memberitahu, seluruh perairan Pulau Pinang terletak di laluan migrasi ikan kembung sebaik populasi spesies itu memasuki ke Selat Melaka ketika ini hingga Mac depan.
Bagaimanapun, Aileen menolak dakwaan kehadiran populasi ikan temenung yang banyak merupakan petanda bencana Tsunami.