SEPANG – Kegiatan ulat teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 di sini bukan sahaja aktif, bahkan tidak mengenal siapa mangsanya.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim berkata, beliau sendiri juga pernah menjadi mangsa kepada penjenayah teksi haram tersebut.
“Saya sendiri pun sudah terkena apabila dapat merasai bagaimana perit jadi mangsa ulat ketika tiba di KLIA dari Sarawak baru-baru ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Zailani berkata, kejadian diperdayakan tersebut berlaku apabila beliau tiba pada sebelah malam dan berhasrat mahu melihat sendiri suasana ulat itu bekerja.
“Tiba-tiba saya disapa oleh seorang pemandu yang menawarkan perkhidmatan teksi sapu kerana kebetulan bawa banyak barang untuk hantar saya pulang ke rumah di Nilai, Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau kemudiannya bersetuju kerana melihat barisan penumpang agak panjang namun terkejut apabila dikenakan bayaran lebih mahal berbanding teksi sebenar atau perkhidmatan e-hailing.
Justeru, beliau telah mengarahkan JPJ Selangor melancarkan sekali lagi Ops Ulat yang pernah dilakukan pada Mac lalu kerana menyedari kegiatan itu aktif sepanjang cuti persekolahan.
Hasil siasatan awal, agensi itu merumuskan ramai mangsa terpaksa membayar antara RM80 sehingga RM150 untuk ke Kuala Lumpur berbanding caj biasa RM65 sehingga RM80 yang boleh melonjak dengan pelbagai kos tersembunyi seperti terpaksa menempuh kesesakan trafik, masa lama menunggu penumpang singgah ke tandas dan sebagainya.
Terdahulu beliau yang ditemani oleh Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya, memaklumkan agensi itu telah berjaya menahan 19 pemandu menerusi Ops Ulat yang dilaksanakan sejak 4 Disember lalu.
Operasi tersebut yang berakhir semalam melibatkan terminal KLIA dan KLIA2 dengan 15 suspek menggunakan kenderaan persendirian manakala bakinya ialah teksi pelbagai model akan didakwa di mahkamah bermula esok.
Menurut Zailani, operasi tersebut merekodkan jumlah kes terbanyak bagi sepanjang tahun ini dan beliau menjangkakan kutipan denda keseluruhan bulan ini mencecah angka tertinggi iaitu RM60,000.
“Bagaimanapun dari segi keseriusan, saya boleh kata agak kurang kerana kita pernah dapat paling tinggi ialah 177 kes pada 2019 dengan kutipan adalah RM511,400 berbanding 130 kes tahun ini,” katanya.-KOSMO! ONLINE