JAKARTA – Kementerian Pengangkutan merancang untuk menaikkan tambang KRL atau Laluan Komuter di kawasan Greater Jakarta, lapor Pemangku Ketua Pengarah Kereta Api, Risal Wasal seperti dilaporkan portal berita Tempo.com semalam.
“Insya-Allah akan ada pelarasan (harga). Kita sudah sediakan Peraturan Menteri berhubung pelarasan tambang KRL dan pengangkutan awam lain. Ini berkaitan Obligasi Perkhidmatan Awam (PSO) dan tambang pendek yang dikenakan kepada orang ramai,” kata Risal di pejabat Kementerian Pengangkutan, Jakarta Pusat kelmarin.
Risal berkata, kementerian berkenaan menunggu masa yang sesuai untuk memutuskan tarif baharu itu.
“Jika kadar tidak diselaraskan, PSO mungkin turun. Insya-Allah, akan ada berita mengenai kenaikan tarif pada awal 2023,” tambahnya tetapi enggan memperincikan jumlah kenaikan tambang itu.
Beliau berkata, angka itu tidak jauh daripada kenaikan kadar yang ditetapkan pihak kementerian pada awal tahun sebelumnya.
“Pada Januari lalu, Kementerian Pengangkutan telah pun mengeluarkan pengiraan dan jumlahnya tidak jauh berbeza. Ia akan diumumkan kemudian. Peraturan pemerintah sudah sedia. Kita juga sedang mengkaji masa yang sesuai untuk pelarasan tarif,” katanya.
Kawasan Greater Jakarta dalam kalangan penduduk tempatan dikenali sebagai Jabodetabek iaitu perkataan akronim untuk Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi. – Agensi