fbpx

Polis geledah pejabat Parlimen Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sidang dewan pleno permulaan sesi parlimen Eropah di Strasbourg, Perancis pada Isnin lalu. – EPA

BRUSSELS, Belgium – Polis Belgium menggeledah pejabat Parlimen Eropah sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan rasuah dan penyelewengan selepas barisan pemimpin kanan Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran mengenai kepincangan kredibiliti dalam EU, lapor akhbar The Guardian kelmarin.

Pendakwa raya persekutuan Belgium memaklumkan bahawa pihaknya telah melakukan 20 operasi penggeledahan sejak Jumaat lalu termasuk 19 di rumah persendirian dan satu di pejabat Parlimen Eropah.

Awal hari sama, pihak berkuasa Greece mengarahkan aset milik Ahli Parlimen Eropah (MEP) yang terlibat dalam siasatan rasuah tersebut disita.

Empat  orang  didakwa terlibat dengan organisasi jenayah, pengubahan wang haram dan rasuah, lapor pendakwa raya Belgium Ahad lalu. 

Ia adalah sebahagian daripada siasatan menyeluruh mengenai percubaan oleh sebuah negara Teluk yang dinamakan oleh media Belgium sebagai Qatar, untuk membeli pengaruh dengan menawarkan wang tunai dan hadiah mewah.

Polis merampas komputer, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah €600,000 (RM2.8 juta) di sebuah rumah, serta wang €150,000 (RM700,353) di sebuah  flat milik seorang ahli MEP dan ‘beberapa ratus ribu lagi’ di sebuah bilik hotel di Brussels, jelas pendakwa raya.

Akaun teknologi maklumat (IT) 10 kakitangan parlimen juga  dibekukan bagi mendapatkan data untuk siasatan. Tujuan pencarian di pejabat Parlimen Eropah  adalah untuk merampas data, kata pendakwa raya.

Tiada suspek yang didedahkan secara rasmi, tetapi media Belgium menamakan ahli MEP Greece, Eva Kaili antara empat yang ditahan.

Ahli-ahli MEP dijangka mengundi dalam tempoh 48 jam akan datang sama ada mahu melucutkan jawatan Kaili sebagai salah seorang daripada 14 Naib Presiden Parlimen Eropah.

Akhbar The Guardian mendapat laporan bahawa sekurang-kurangnya empat anggota Parlimen Eropah telah menarik diri daripada peranan dalam Parlimen sementara siasatan ke atas mereka dilakukan.

Pendakwa raya berkata, pihaknya mengesyaki selama berbulan-bulan bahawa sebuah negara Teluk telah berusaha untuk mempengaruhi keputusan di Parlimen Eropah. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI