JOHOR BAHRU – Sebanyak 40 peratus daripada keseluruhan 2,205 premis berisiko yang telah ditetapkan memerlukan sijil Perakuan Bomba (Fire Certificate) di negeri ini masih belum mempunyai tahap perakuan berkenaan.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, premis tersebut termasuklah bangunan kerajaan, hotel, kilang dan pusat beli-belah.
Menurut beliau, premis-premis berkenaan sama ada gagal dalam permohonan mereka untuk mendapatkan FC ataupun masih belum memohonnya.
“Di Johor, terdapat 2,205 premis berisiko yang telah ditetapkan memerlukan FC, namun setakat ini hanya sekitar 60 peratus daripadanya telah memperoleh FC yang diperlukan.
“Walaupun begitu, setiap premis berkenaan dibenarkan beroperasi kerana telah memiliki Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), dalam pada itu mereka perlu terus mematuhi peraturan FC dan membuat permohonan bagi mendapatkan kelulusannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Seminar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (Pindaan 2001) Zon Selatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada), di sini hari ini.
Jelas beliau, premis yang mempunyai risiko tertentu dan tertakluk dalam Seksyen 27 Akta Perkhidmatan Bomba memerlukan sijil FC bagi memastikan tahap keselamatannya.
Tambah Mohammad Hamdan, objektif pelaksanaan sijil FC berkenaan adalah untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pekerja dan pengunjung premis yang terlibat.-KOSMO! ONLINE