fbpx

IPT kini pantas adaptasi proses pengajaran, pembelajaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUANKU Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud bertitah Majlis Konvokesyen USIM Ke-20 di Dewan Tuanku Canselor, USIM, Nilai, Seremban hari ini.-Foto ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.

SEREMBAN – Institusi pengajian tinggi (IPT) kini dilihat pantas mengadaptasi proses pengajaran dan pembelajaran malah pelajar juga berupaya mengikuti pembelajaran pelbagai kaedah termasuk secara bersemuka atau dalam talian.

Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud bertitah, inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi menawarkan kemudahan komputer tablet juga membantu pelajar untuk terus berusaha cemerlang dalam akademik.

“Para pelajar universiti berupaya mengikuti pembelajaran sama ada secara bersemuka atau secara online di bawah bimbingan pensyarah. Ini turut membuktikan bahawa proses pembelajaran boleh berlaku dengan pelbagai kaedah.

“Inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi menawarkan kemudahan komputer tablet yang dinamakan Peranti Siswa telah membantu para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.

“Beta mengharapkan agar kemudahan yang diberikan dapat dimanfaatkan dengan baik,” titah baginda selepas mencemar duli berangkat mengisytiharkan Majlis Konvokesyen USIM Ke-20 di Dewan Tuanku Canselor, USIM di Nilai hari ini.

Yang hadir sama, Pro Canselor USIM, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Naib Canselor USIM, Prof Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani.

Dalam pada itu, baginda bertitah, USIM kini menjadi kampus yang menjadi tumpuan pelajar antarabangsa dari Asia Barat dan juga benua Afrika untuk melanjutkan pelajaran.

“Beta disembah maklum bahawa selain daripada aspek bidang pengajian dan tenaga pengajar berkualiti, para pelajar antarabangsa memilih USIM kerana tertarik dengan pengalaman dalam mengenali budaya dan cara hidup tempatan.

“Beta menyeru kepada semua warga USIM agar mengukuhkan semangat kekeluargaan dan kekitaan bagi memastikan nama USIM terus harum di persada antarabangsa dan menjadi destinasi pendidikan pilihan warga global,” jelas Tuanku Aishah lagi.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, baginda telah berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat (Doktor Falsafah) Alam Bina kepada arkitek berpengalaman, Datuk Ar. Haji Hajeedar Haji Abdul Majid dan Ijazah Kehormat (Sarjana) Pengajian Quran dan Sunnah kepada pengasas pembelajaran al-Quran, teknik Al Baghdadi, Jalaluddin Hassanuddin.

Turut menerima penganugerahan ialah dua orang tokoh akademik USIM iaitu Felo Akademik dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Prof. Dr. Hayati Abd. Rahman dan Karyawan Tamu Fakulti Sains dan Teknologi, Datuk Dr. Roshada Hashim. Kedua-duanya membawa gelaran Prof. Emerita.

Seramai 2,955 graduan diraikan pada konvokesyen kali ini yang bertemakan ‘Graduan Cemerlang, USIM Disayangi’ yang diadakan bermula hari ini hingga 15 Disember. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI