SEPANJANG bulan berlangsungnya Piala Dunia Qatar 2022, penulis kerap mendengar lagu bertemakan Piala Dunia termasuk yang terbaharu berjudul Hayya Hayya (Better Together) n0yanyian Trinidad Cardona, Davido dan Aisha; Tahayya (Get Ready) – Maher Zain & Humood dan Dreamers – Jungkook BTS.
Dalam banyak-banyak lagu Piala Dunia, penulis tertarik dengan lagu cover oleh Lamya berjudul Waka Waka (This Time for Morocco) yang mana nyanyian asalnya oleh Shakira bertajuk Waka Waka (This Time for Africa), lagu tema bagi Piala Dunia Afrika Selatan 2010.
Berdasarkan tajuk lagu Waka Waka yang bermaksud ‘lakukan’ dalam bahasa slanga masyarakat Cameroon, manakala This Time for Africa (Kali ini untuk Afrika) diharap membangkitkan semangat juang tuan rumah dan wakil benua Afrika pada Piala Dunia ketika itu.
Itu lagu yang dinyanyikan pada 12 tahun lalu, namun lagu malar segar itu kini bagaikan merujuk pasukan paling mengejutkan Piala Dunia kali ini iaitu Morocco atau turut dikenali Maghribi.
Sebelum di Qatar, hanya Cameroon pada 1990, Senegal (2002) dan Ghana (2010) telah berjaya ke peringkat lapan terakhir Piala Dunia, tapi kemenangan Maghribi di Stadium Al Thumama Sabtu lepas melakar satu lagi sejarah baharu.
Menariknya, belum ada sejarah negara dari benua Afrika melangkah sejauh Magribi dengan kini hanya tinggal empat pasukan terbaik dunia, malah kisah pasukan kerdil ini amat menakjubkan apabila menumbangkan satu per satu gergasi dunia tanpa ada seorang pun berani bertaruh ke atasnya.
Umpama kisah dongeng, skuad bimbingan Walid Regragui itu tidak tewas lagi dalam lapan perlawanan, bahkan skuad The Atlas Lions itu tidak dibolosi dalam tujuh perlawanan kecuali melepaskan gol sendiri ketika menentang Kanada di peringkat kumpulan.
Kejayaan Maghribi melangkah ke separuh akhir menjadi detik hebat dalam sukan dan merupakan persembahan terbaik dalam sejarah pasukan hingga melangkaui bola sepak itu sendiri.
Hal ini kerana, ia menciptakan detik kegembiraan, keterujaan dan kebanggaan secara kolektif di seantero benua. Para penyokong juga mengembara dari seluruh dunia Arab untuk berada di Doha kerana Maghribi.
Di Baghdad, wartawan Al Jazeera, Mahmoud Abdelwahed melaporkan, ribuan rakyat Iraq turun memenuhi jalan raya bagi meraikan kemenangan bersejarah Maghribi seolah-olah seperti menyambut kejayaan negara mereka sendiri.
Di sebuah dewan sukan terbesar di Gaza, Palestin yang dipenuhi dengan ribuan peminat turut bergembira sambil menari dan menyanyi ketika meraikan kejayaan Maghribi.
Ia satu simbolik, kejayaan itu bukan berkisarkan Maghribi sahaja bahkan benua Afrika dan bumi Arab. Tidak keterlaluan jika dikatakan seluruh dunia bergembira meskipun sekadar mengukir senyuman.
Apa yang pasti, seluruh dunia akan berada di belakang pasukan Maghribi menjelang aksi separuh akhir di Stadium Al Bayt pada pukul 3 pagi esok, kecuali penyokong Perancis. Pada penulis, alang-alang menyeluk pekasam, ayuh Maghribi ke pentas final!