MADRID – Penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois percaya rakan sepasukannya, Eden Hazard akan ‘meletup’ bersama kelab itu selepas dihimpit pelbagai krisis kecederaan sejak berhijrah daripada Chelsea tahun lalu.
Kapten Belgium itu masih belum membuat penampilan bersama Real untuk saingan musim 2020/2021 ekoran kecederaan otot yang dialami selepas pulih daripada masalah buku lali baru-baru ini.
Bagaimanapun, Courtois, 28, yakin pemain sayap lincah itu memerlukan sedikit masa sahaja lagi sebelum dia mempamerkan kualiti permainan dimilikinya buat Real.
“Saya tidak pernah meragui kemampuan Hazard dan kita akan melihat kehebatannya tidak lama lagi. Dia sendiri sudah tidak sabar untuk melenyapkan segala kritikan terhadapnya selama ini.
“Dia sudah bermain beberapa perlawanan selepas pulih daripada masalah buku lali tetapi malangnya dia sekali lagi mengalami kecederaan (otot). Ia bukan satu perkara mudah apabila anda sering dipalit masalah kecederaan.
“Jadi saya percaya Hazard akan ‘meletup’ dengan mempamerkan kualiti yang dia ada selepas terperap lama tidak beraksi bersama pasukan kerana kecederaan demi kecederaan dialaminya,” kata Courtois.
Sebagai rekod, Real kini mendahului carta La Liga dengan 10 mata selepas empat perlawanan dan bakal menanti kunjungan Cadiz di Stadium Santiago Bernabeu untuk aksi seterusnya pada Ahad ini. – AGENSI