fbpx

Tolak ‘paid review’, Nourul pilih produk selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOURUL Depp enggan membahayakan diri dan pengguna lain dengan mempromosikan produk yang mempunyai kesan jangka panjang.

PETALING JAYA – Berpegang kepada prinsip enggan membahayakan diri dan pengguna lain membulatkan tekad penyanyi Nourul Depp menolak membuat ulasan berbayar bagi sesetengah produk.

Nourul atau nama sebenarnya Noorul Huda Abdul Wahab, 44, berkata, perkhidmatan ulasan yang dilakukannya cukup selektif dengan menapis ketat barangan yang boleh memberikan kesan sampingan jangka panjang.

“Saya terpaksa menolak sesetengah permintaan untuk melakukan ulasan dalam media sosial kerana saya cuma memilih produk terbaik.

“Sudah tentu perkara ini bukan semata-mata demi mendapatkan keuntungan kerana saya harus membuat tapisan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Bukan nak menyombong diri tetapi saya tak buat ulasan ikut suka semata-mata mahu buat duit. Minta maaf,” katanya menerusi perkongsian Instagram.

Kongsi penyanyi yang kini bermastautin di Bali, Indonesia itu, pengalaman lalu menyebabkannya sangat berwaspada dalam memilih produk mahupun perkhidmatan untuk kegunaan diri dan keluarga.

“Saya pernah menjadi pengguna produk yang mempunyai bahan steroid selain bergelar pelanggan untuk beberapa klinik dan melakukan ulasan yang meninggalkan impak kepada diri.

“Sebab itu saya enggan melakukannya lagi terutama jika boleh membahayakan peminat, rakan, keluarga, atau pengikut media sosial.

“Sesetengah orang promosikan produk hanya untuk poket mereka tanpa berfikir boleh membahayakan,” katanya lagi.

Penyanyi lagu Kerana Terluka itu turut meninggalkan pesanan kepada orang ramai supaya menjadi individu bijak sebelum mengambil apa-apa produk yang didakwa bagus untuk kesihatan.

Ujarnya, jangan terlalu inginkan kesan segera sehingga terlupa membuat kajian atau enggan memikirkan kesan sampingan yang boleh memudaratkan.

Terdahulu, ibu kepada empat cahaya mata itu merupakan antara selebriti wanita yang suka berkongsi amalan pemakanan sihat selain menjalani rutin senaman bagi mengekalkan stamina pada usia mencecah 45 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI