PUCHONG – Dua lelaki meninggal dunia dalam nahas jalan raya setelah kereta dinaiki mereka terbabas di bahu jalan di Kilometer(KM) 19.4 Lebuh Raya Damansara-Puchong, di sini, awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong telah dikerahkan ke lokasi dan tiba sekitar pukul 4.41 pagi.
“Setibanya di tempat kejadian, kami mendapati kemalangan melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish telah terbabas di bahu jalan.
“Dua lelaki berumur lingkungan 21 tahun didapati tersepit di bahagian hadapan tempat duduk kereta.
“Mangsa bernama Shahdad Idzham Roslee, 21, manakala seorang lagi tiada pengenalan diri telah disahkan meninggal dunia,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, anggota bomba bertindak memotong bahagian pintu kereta menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang terlibat.
Jelas Norazam, kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya. -KOSMO! ONLINE