fbpx

Maverick Vinales mahu jadi pencabar utama MotoGP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VINALES memberi fokus untuk menjadi pelumba yang kompetitif, sekali gus pencabar utama kejuaraan MotoGP pada musim depan. - MOTOGP

LONDON – Selepas setahun bersama pasukan Aprilia, pelumba Sepanyol, Maverick Vinales memasang azam tinggi untuk membalas kepercayaan dengan menjadi pencabar utama dalam perebutan gelaran dunia bersama pasukan Itali itu musim depan.

Pada musim pertama bersama Aprilia, Vinales memperagakan tunggangan cukup positif bersama jentera RS-GP apabila berjaya menaiki podium seba­nyak tiga kali pada Grand Prix (GP) Belanda, GP Britain dan juga GP San Marino.

Bekas pelumba Yamaha itu menegaskan, dia menyertai pasukan Aprilia pada 2022 selepas keluar daripada pelbagai tekanan terutama mengendalikan emosi. Namun, keadaannya semakin stabil untuk memburu kemenangan.

“Musim 2021 adalah tahun yang sa­ngat sukar dan bercakap dari sudut pandangan sukan, saya berdepan masalah untuk me­ngawal emosi. Kini, semuanya dalam keadaan terbaik sejak menyertai pasukan Aprilia.

“Pada musim 2022 saya ba­nyak mengenali karakter jentera dan cuba untuk mendapatkan podium pertama bersama pasukan Aprilia. Akhirnya saya berjaya melakukannya untuk menaiki podium.

“Justeru, saya menantikan permulaan musim depan dengan penuh semangat. Dari sudut pandangan Aprilia, sebagai satu pasukan, matlamatnya adalah untuk menjadi pelumba yang kompetitif.

“Saya akan melakukan yang terbaik dengan menjadi salah seorang pencabar dalam pere­butan gelaran pada musim 2023 nanti,” kata Vinales.

Pelumba berusia 27 tahun itu tidak dapat menan­dingi rakan sepasukannya, Aleix Espargaro yang melakar lima podium dan satu kemena­ngan di Argentina sekali gus menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat keseluruhan.

Sebagai rekod, pasukan Aprilia ‘menyambar’ khidmat Vinales pada Ogos tahun lalu untuk bergandingan dengan Espargaro selepas pelumba Sepanyol itu berdepan konflik bersama pasukan Yamaha sebelum membuat keputusan meninggalkan pasukan Jepun tersebut yang disertainya pada 2017.

Yamaha bertindak ‘menggantung’ Vinales daripada berlumba pada GP Austria selepas melihat pelumba itu tidak me­nunjukkan rasa hormat selepas didakwa sengaja merosakkan jenteranya sewaktu GP Styria.

Bagaimanapun, Vinales telah memohon maaf atas tindakan tersebut selepas gagal mengawal emosi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI