fbpx

Sistem kupon renyah – Peniaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pembelian minyak masak peket secara tunai dikatakan lebih mudah berbanding sistem kupon. – Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Cadangan kerajaan memperkenalkan sistem kupon bagi pembelian mi­nyak masak peket bersubsidi 1 kilogram (kg) mendapat ­bantahan pemborong serta peniaga di negeri ini.

Rata-rata yang ditemui berkata, sistem itu amat ‘renyah’, sekali gus berdepan kesukaran semasa urusan jual beli dilakukan.

Meskipun belum pasti kaedah sistem kupon yang akan diper­kenalkan, tetapi mereka menolak cadangan itu, bimbang sumber pendapatan terjejas ekoran kerenah pihak berkaitan.

Seorang pemborong di daerah Timur Laut yang mahu dikenali sebagai Sherly, 52, berkata, tidak perlu memperkenalkan sistem kupon untuk pembelian minyak masak bersubsidi, sebaliknya pihak berkenaan perlu menambah baik serta meningkatkan pemantauan di peringkat pengeluaran dan pembekalan.

“Memang tidak setuju. Minyak masak peket dihadkan hanya setiap dua peket bagi seorang pelanggan. Jika perlu kupon, memang agak renyah.

“Jika ini berlaku, kami tidak akan jual lagi minyak masak peket dan hanya fokus barangan runcit lain tanpa perlu kupon.

“Kami perlukan pembelian secara tunai untuk meneruskan kos perbelanjaan dalam urusan perniagaan,” katanya.

Seorang lagi peniaga pasar awam di daerah Barat Daya yang hanya mahu dikenali sebagai Arshad, 45, memberitahu, pengenalan sistem kupon sememangnya menyusahkan peniaga.

“Bukan semua peniaga dapat bekalan minyak peket yang sama. Memang buang masa untuk jual minyak masa guna sistem kupon. Nak tuntut semula wang satu hal, bukan boleh dapat segera.

“Kami perlukan urusan jual beli secara tunai bagi menjana pendapatan harian,” ujarnya.

Pada 6 Disember lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bercadang memperkenalkan sistem kupon kepada golongan B40 dan peniaga industri kecil dan sederhana untuk membeli minyak masak paket bersubsidi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI