KUALA LUMPUR – Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) terbuka menerima pendekatan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengekalkan format pasukan dinaikkan pangkat dan penyingkiran membabitkan saingan Liga Super dan Liga Premier musim ini.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata, perkara itu tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan MFL meskipun saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini cuma berjalan satu pusingan iaitu 11 perlawanan disebabkan penularan pandemik Covid-19.
Menurutnya, setiap badan pengelola liga negara masing-masing mempunyai pendekatan tersendiri selepas mengambil kira keperluan terhadap sebarang keputusan membabitkan kepentingan semua rakan kongsi.
“Bagi AFC, kami akan menghormati jika keputusan itu diambil FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan MFL selain perkara tersebut ada dibincangkan bersama semua pihak berkepentingan mewakili semua pasukan bertanding.
“Dalam situasi penularan Covid-19 yang masing berleluasa sekarang, mungkin banyak pertimbangan perlu diperhalusi termasuk soal promosi serta penyingkiran asalkan sesuatu pertandingan itu masih berjalan pada musim ini.
“Kami boleh menerima pendekatan yang dipilih asalkan ia bukan bersifat di luar semangat kesukanan dalam sesuatu pertandingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan baru-baru ini mengesahkan pihaknya telah menerima cadangan daripada enam pasukan yang mahukan tiada penyingkiran Liga Super ke saingan Liga Premier musim depan. – K! ONLINE