fbpx

Suspek buat bom tragedi Lockerbie ditahan di Amerika Syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lelaki Libya, Abu Agila Masud didakwa membuat bom yang digunakan untuk meletupkan sebuah pesawat Pan Am milik AS dan membunuh seramai 270 orang terbunuh di ruang udara Lockerbie, Scotland pada tahun 1988. – AFP

GLASGOW – Seorang lelaki Li­bya yang dituduh membuat bom sehingga memusnahkan sebuah pesawat penerbangan Pan Am 103 di ruang udara Lockerbie 34 tahun lalu berada dalam tahanan di Amerika Syarikat (AS), kata pihak berkuasa Scotland.

AS mengumumkan pertuduhan terhadap lelaki Libya tersebut, Abu Agila Masud dua tahun lalu dengan mendakwa beliau memainkan peranan penting dalam pengeboman itu yang berlaku pada 21 Disember 1988.

Letupan di dalam pesawat Boeing 747 milik AS itu menyebabkan seramai 270 orang terkorban dan ia merupakan insiden keganasan  paling berdarah yang pernah berlaku di bumi Britain.

Kesemua 259 penumpang dan kru pesawat  jumbo yang menuju ke New York dari London  itu maut,  manakala 11 orang lagi terbunuh di Lockerbie apabila serpihan-serpihan memusnahkan kediaman mereka.

Pada bulan lalu, Masud dilaporkan diculik oleh sekumpulan militia di Libya sehingga membawa kepada spekulasi bahawa beliau akan diserahkan kepada pihak berkuasa AS untuk dibicarakan.

Jurucakap Jabatan Kehakiman AS memberitahu agensi beri­ta Reuters bahawa suspek akan membuat penampilan awal di sebuah mahkamah persekutuan di Washington di negara berkenaan.

Lima tahun lalu dia menjalani hukuman penjara di Libya kerana membuat bom. Pada tahun 2001, seorang warga Libya, Abdelbaset al-Megrahi telah disabitkan kesalahan mengebom Pan Am 103 selepas dibicarakan di sebuah mahkamah khas Scotland di Belanda.

Beliau adalah satu-satunya lelaki yang disabitkan atas serangan itu dan Megrahi dipenjara seumur hidup tetapi dibebaskan atas dasar belas kasihan oleh kerajaan Scotland pada tahun 2009 selepas disahkan menghidap kanser.

Lelaki itu kemudian meninggal dunia di Libya pada tahun 2012.

Didakwa semasa di penjara di Libya, Masud mengaku terlibat dalam konspirasi tersebut dengan Megrahi untuk meletupkan pesawat  Pan Am 103. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI