fbpx

Gaji pekerja di Britain semakin merosot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEKERJA mel mengadakan piket untuk menuntut kenaikan gaji di Basingstoke, selatan England pada 26 Ogos lalu. – AFP

LONDON – Tahun 2022 adalah yang paling buruk untuk pertumbuhan sebenar gaji bagi tempoh hampir setengah abad di Britain, lapor portal berita Daily Mirror kelmarin. 

Menurut Kesatuan Sekerja Perdagangan (TUC), sebaik sahaja kenaikan kos sara hidup diambil kira, pertumbuhan gaji merosot sebanyak 3 peratus pada tahun 2022.

Ia merupakan penurunan ter­besar sejak tahun 1977 dan ke­dua terburuk dalam rekod sejak 1945.

Pekerja-pekerja telah kehila­ngan £76 (RM411.13) sebulan secara purata tahun ini akibat gaji tidak seiring dengan kadar inflasi, manakala kakitangan sektor awam kehilangan sebanyak £180 (RM973.73), demikian menurut TUC.

Kajian itu menunjukkan gaji sebenar jururawat merosot sebanyak £1,800 (RM9,737) sepanjang tahun lepas, kakitangan paramedik sebanyak £2,400 (RM12,983) dan bidan £2,400 (RM12,983).

Setiausaha Agung TUC, Fran­ces O’Grady berkata, menjadi satu kesilapan apabila keluarga di Britain dibiarkan terdedah secara ‘kejam’ kepada peningkatan kos sedangkan menteri kewangan Britain memansuhkan had bonus pegawai-pegawai bank.

Beliau berkata: “Orang ramai harus dapat menantikan Krismas tanpa perlu risau bagaimana mereka akan membayar untuk­nya, namun belanjawan keluarga kini berkurang akibat kenaikan bil dan penurunan nilai gaji.

“Parti Konservatif (yang memerintah Britain) telah ‘me­mimpin’ kenaikan gaji sebenar terpanjang dalam tempoh lebih dari 200 tahun. Itu (kejatuhan pertumbuhan gaji) adalah simbol rasa malu.”

“Kegagalan parti itu untuk memperjuangkan kenaikan gaji menyebabkan berjuta-juta isi rumah terdedah kepada keadaan darurat akibat kenaikan kos sara hidup. 

“Kini sudah tiba masanya untuk memberi ganjaran kepada pekerjaan dan bukannya keka­yaan.

“Kita tidak boleh menjadi negara di mana NHS (Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan) dan tenaga pengajar harus menggunakan bank makanan sementara pegawai-pegawai bank kewangan diberi bonus tanpa had.”

O’Grady mengatakan, gelombang tindakan industri semasa di Britain kini adalah hasil daripada situasi pekerja-pekerja yang tidak lagi mampu menangani tekanan kewangan selepas berjimat cermat selama bertahun-tahun.

Ketua kesatuan itu menyeru menteri- menteri untuk terlibat da­lam perbincangan yang lebih bermakna bagi menangani isu tersebut.

“Kerajaan perlu dipersalahkan. Ia memilih untuk menahan kenaikan gaji wira-wira pandemik (Co­vid-19) kita dan mengakibatkan krisis dalam per­khidmatan awam kita menjadi semakin buruk.

“Kerajaan menghalang run­dingan yang lebih bermakna. Menteri nampaknya berminat untuk meningkatkan perselisihan daripada menyelesaikannya,” kata O’ Grady. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI