BERSEMPENA Hari Diabetes Sedunia (WDD) 2022 yang disambut pada bulan lalu, Institut Endokrin Hospital Putrajaya dan Persatuan Endokrin & Metabolik Malaysia (MEMS) telah bekerjasama dengan syarikat penjagaan kesihatan global terkemuka, Novo Nordisk Pharma Malaysia untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penyakit kronik tersebut.
Tema Hari Diabetes Sedunia tahun ini iaitu Pendidikan untuk Melindungi Hari Esok menekankan tentang kepentingan terhadap akses pendidikan diabetes yang lebih baik bagi penjagaan kesihatan penghidap penyakit itu.
Menyedari pendidikan juga boleh dilakukan secara lebih menyeronokkan, acara larian atau berjalan kaki Diabetes Fun Walk telah diadakan pihak terbabit di sekitar kawasan Hospital Putrajaya untuk disertai orang ramai.
Larian itu turut disulami dengan pelbagai permainan di stesen pendidikan berkisar diabetes dan cara pengurusannya yang perlu diselesaikan oleh peserta untuk menamatkan larian.
Larian tersebut turut dilengkapi dengan pameran diabetes yang menampilkan banyak gerai pendidikan serta ceramah umum dari pelbagai jabatan hospital untuk bersama-sama memberi kesedaran tentang diabetes.
Selain aktiviti kesedaran awam, Institut Endokrin juga menganjurkan aktiviti pendidikan diabetes untuk penyedia penjagaan kesihatan dengan bengkel latihan kapasiti mengenai pengurusan diabetes.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Asmayani Khalib telah merasmikan program tersebut.
Turut hadir Ketua Perkhidmatan Subkepakaran Endokrinologi Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Zanariah Hussein; Presiden MEMS, Dr. Nurain Mohd. Noor; Timbalan Pengarah (Endokrin)
Hospital Putrajaya; Dr. Mohammad Khairol Anwar Yusop dan Naib Presiden atau Pengurus Besar Novo Nordisk Pharma Malaysia, Richard Abela.
Dr. Asmayani telah menekankan kepentingan pendekatan holistik dalam pencegahan dan pengurusan untuk memerangi diabetes.
“Pertambahan bilangan penghidap diabetes memberi tekanan tambahan kepada sistem penjagaan kesihatan.
Para profesional penjagaan kesihatan memerlukan pendidikan yang berkualiti mengenai cara untuk mengesan dan mendiagnosis awal serta memberikan penjagaan yang terbaik, manakala penghidap diabetes pula memerlukan akses kepada pendidikan secara berterusan untuk memahami keadaan mereka dan melakukan penjagaan diri harian.
Ini penting supaya mereka dapat mengelakkan komplikasi serta kekal sihat,” kata Dr. Asmayani.
Sentimen itu turut disuarakan oleh Dr. Zanariah yang berkata, berikutan peningkatan jumlah rakyat Malaysia menghidap diabetes, usaha berganda perlu dilakukan untuk mencegahnya daripada terus meningkat.
“Akses kepada pendidikan diabetes berkualiti adalah matlamat yang mesti diusahakan oleh semua pihak profesional penjagaan kesihatan untuk mendidik dan memperkasa pesakit, masyarakat serta ahli keluarga yang menjaga penghidap diabetes.
“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Novo Nordisk serta pihak lain dalam usaha memacu kesedaran serta aktiviti pendidikan mengenai diabetes.” katanya.
Sementara itu, Abela berkongsi rasa gembira kerana dapat memberi sokongan kepada Hospital Putrajaya dalam aktiviti Hari Diabetes Sedunia tahun ini.
“Akses kepada pendidikan diabetes merupakan aspek kritikal yang membolehkan penjagaan lestari jangka panjang terlaksana. Komponen ini adalah penting untuk penjagaan diabetes, sementara kami membangunkan pendekatan yang berpusatkan pesakit dalam penjagaan pengurusan penyakit kronik sepanjang hayat. Kami di Novo Nordisk ingin menjadi sebahagian daripada solusi,” katanya.