fbpx

Tidak batal projek tebatan banjir, cuma teliti semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Projek tebatan banjir tidak dibatalkan, namun cuma perlu diteliti semula oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata ‘khabar angin’ kononnya projek bernilai RM7 bilion yang diluluskan kerajaan terdahulu itu dibatalkan adalah tidak benar, malah hanya perlu diteliti sebelum disambung semula.

“Ia tidak dibatalkan, cuma ini jumlah wang rakyat yang besar, jadi Perdana Menteri arah untuk diteliti semula. Kita mahu projek ini berjalan dengan sebaik mungkin, bukannya projek yang bermasalah di mana ia tidak membantu kita berdepan dengan masalah banjir nanti,” katanya dalam satu rancangan temu bual sebuah stesen televisyen, hari ini.

Tambahnya, projek tebatan banjir itu dijangka akan dilaksanakan dalam masa yang terdekat, lebih-lebih lagi di beberapa kawasan ‘hotspot’ banjir, namun hanya perlu diteliti sebelum disambung semula.

Sementara itu, pihaknya sedia maklum tentang banjir besar yang dijangka terjadi Disember ini, dengan memastikan kakitangan di bawah kementeriannya memainkan peranan proaktif dan tidak menolak kerjasama sesama agensi.

“Saya faham Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan memainkan peranan yang besar dalam menguruskan bencana banjir, namun hal-hal berkaitan dengan mitigasi (pengurangan risiko bencana), penyelenggaraan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), ramalan cuaca atau banjir adalah di bawah kementerian saya.

“Walaupun saya tidak mahu mendahului bidang tugas kementerian lain, namun saya faham rakyat ingin masalah diselesaikan tidak kira portfolio dan bidang tugasan. Oleh itu, mahu atau tidak, kementerian saya akan mainkan peranan proaktif dalam menghadapi bencana banjir ini,” katanya.

Dalam pada itu, Nik Azmi turut menyeru orang ramai supaya memanfaatkan sistem sedia ada iaitu https://publicinfobanjir.water.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat terkini tentang aras air dan taburan hujan yang memaparkan lebih 5,000 ‘hotspot’ banjir di seluruh negara. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI