LOS ANGELES – Anggota kumpulan Backstreet Boys, Nick Carter berdepan tindakan saman sivil atas dakwaan merogol seorang gadis autisme dalam kejadian yang berlaku sekitar 21 tahun lalu.
Mangsa, Shannon Ruth, 39, mendakwa dirogol ketika berusia 17 tahun semasa kumpulan yang popular dengan lagu As Long As You Love Me itu melakukan konsert jelajah di Tacoma, Washington pada 2001.
Ruth yang turut menghidap cerebral palsy mengakui dia mengalami trauma dalam satu tempoh panjang susulan kejadian tersebut.
“Kehidupan saya penuh dengan penderitaan, kekeliruan, kekesalan dan rasa malu melampau hingga nyaris membahayakan diri sendiri sepanjang 21 tahun lalu,” katanya ketika sidang media bersama peguam, Mark Boskovich, minggu lalu.
Menerusi dokumen mahkamah difailkan pada 8 Disember lalu, Ruth berkata, Carter memilihnya daripada barisan peminat yang mahu menandatangani autograf dan menjemputnya menaiki bas persiaran.
Nick kemudian didakwa memberinya jus untuk tetamu VIP dipercayai campuran kranberi dan alkohol.
Penyanyi itu kemudian dikatakan membawa Ruth ke bilik mandi dan melakukan perbuatan terkutuk ke atas Ruth di situ selain serangan seksual di atas katil.
Apabila Ruth cuba meninggalkan bas persiaran berkenaan, Carter didakwa menghalang dengan memegang lengannya sehingga meninggalkan kesan lebam serta turut mengherdiknya.
Dalam paparan dokumen mahkamah sama, Ruth menegaskan dirinya masih dara sebelum pertemuan dengan Carter, tetapi dijangkiti penyakit kelamin selepas dirogol.
Sementara itu, Boskovich pula mendakwa Carter memperlekehkan anak guamannya dengan mengatakan tiada siapa akan mempercayai gadis autism.
Peguam tersebut juga menyatakan pihaknya sudah bertemu dengan tiga wanita yang mendakwa pernah menjadi mangsa serangan seksual Carter hingga dijangkiti penyakit kelamin.
Susulan kes itu, tayangan rancangan khas untuk Krismas, A Very Backstreet Holiday yang sepatutnya disiarkan pada 14 Disember ini ditarik balik stesen televisyen ABC.
Hal ini kerana program berkenaan mengundang anggota Backstreet Boys lain iaitu AJ McLean, Kevin Richardson, Brian Littrell dan Howie Dorough selain disertai hos, Seth Rogen dan penyanyi, Meghan Trainor.
Sementara itu, Carter tampil menafikan dakwaan berkenaan menerusi satu kenyataan diberikan kepada portal CNN daripada peguamnya, Michael Holtz.
“Dakwaan mengenai insiden yang kononnya berlaku lebih 20 tahun lalu bukan sahaja tidak berbaloi dari segi undang-undang, tetapi tidak benar sama sekali.
“Malangnya, Ruth dimanipulasi untuk membuat dakwaan palsu terhadap Carter dengan perincian fakta berubah berulang kali secara material dari semasa ke semasa,” katanya.
Penyanyi berusia 42 tahun itu sebelum ini pernah berdepan dakwaan sama pada 2017 apabila dituduh merogol bekas penyanyi pop, Melissa Schuman ketika berusia 15 tahun. – KOSMO! ONLINE