Saudara pengarang,
Adalah penting untuk setiap orang mempunyai dua jenis simpanan iaitu kecemasan dan persaraan. Tiada siapa menjangka seluruh dunia berubah selepas penularan virus Covid-19 pada tahun 2020.
Antara yang terjejas adalah peniaga kecil dan mereka yang bekerja sendiri. Ramai yang hilang pekerjaan dan punca pendapatan. Walaupun keadaan sudah terkawal, penularan virus itu belum berakhir.
Pendek kata, kehidupan semua pihak terganggu. Pada masa sama, dunia sedang mengalami keadaan ekonomi yang tidak menentu termasuk peningkatan kos sara hidup dan Malaysia turut menerima tempiasnya.
Pelbagai cadangan drastik terpaksa diberikan bagi memastikan pihak terjejas dapat meneruskan kehidupan termasuklah pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Kita tidak tahu selama mana akan hidup selepas bersara nanti. Jadi penting untuk ketahui dengan kemajuan dunia sains dan teknologi perubatan, umur manusia makin lama makin panjang.
Jadi ia menuntut semua pihak untuk lebih bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan luar jangka.
Wang lebih penting selepas kita bersara kelak. Apabila usia meningkat, lebih banyak wang diperlukan terutama untuk kesihatan. Usia lanjut juga akan menyukarkan proses mencari kerja kerana tenaga berkurangan.
Oleh itu penting supaya kita memiliki sumber kewangan yang benar-benar kukuh bagi menampung kehidupan lepas bersara.
Sebarang cadangan melibatkan pengeluaran wang KWSP perlu diteliti dengan baik supaya tidak membawa kesan di kemudian hari. Adalah penting supaya orang ramai memiliki simpanan waktu kecemasan supaya tidak terlalu bergantung kepada wang persaraan. Setiap orang perlu menyimpan wang.
Orang ramai perlu belajar mengurus kewangan harian mereka. Amalan berjimat cermat perlu diamalkan dari usia muda, terpulang banyak mana yang ingin disimpan walaupun jumlahnya sedikit, jika dilakukan secara konsisten, ia akan menjadi banyak.
Bak kata pepatah sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.
Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia