KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah memperuntukkan bantuan zakat lebih RM1 juta kepada 1,582 orang pelajar asnaf universiti itu sepanjang tahun ini.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, seramai 500 pelajar baru dalam kalangan asnaf juga telah menerima Dermasiswa Al-Ikhlas berjumlah keseluruhan RM250,000.
Beliau berkata, UMT turut bakal memperkenalkan Program AsnafPro iaitu pembiayaan penuh biasiswa zakat UMT kepada pelajar berkelayakan.
“Itu adalah antara inisiatif UMT dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan pelajar terutama mereka dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan.
“Dalam masa sama, UMT sentiasa berusaha untuk mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang disasarkan selari dengan aspirasi menjadi peneraju ilmu kelautan dan sumber akuatik terunggul dalam negara dan disegani global,” katanya pada majlis Konvokesyen UMT Ke-20 di sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan Canselor UMT, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Seramai 1,601 graduan iaitu 171 orang adalah graduan pasca siswazah, 1297 graduan Sarjana Muda dan 133 graduan Diploma menerima sijil dan ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen terbabit. – KOSMO ONLINE