fbpx

Tuanku Muhriz berangkat hadir ke Pesta Bola Ngoca 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ACARA Pesta Bola Ngoca Negeri Sembilan 2022 yang diadakan di Perkampungan Budaya Terachi, Kuala Pilah, hari ini.-FOTO/ MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

KUALA PILAH – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mencemar duli hadir ke pertandingan bola sepak sawah, Pesta Bola Ngoca Negeri Sembilan 2022.

Turut berangkat ke acara yang diadakan di Perkampungan Budaya Terachi, di sini itu ialah Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Keberangkatan tiba baginda, disambut oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Tuanku Muhriz kemudian turut berkenaan menyempurnakan flag off pertandingan menangkap itik, basikal titi dan acara panjang tiang licin.

Baginda kemudian turut meluangkan melawat tapak acara selain melihat aktiviti sampingan yang diadaka iaitu mengoca ikan.

Sementara itu, Aminuddin berkata, Pesta Bola Ngoca Negeri Sembilan 2022 merupakan edisi ketiga yang diadakan selaras dengan Kalendar Pelancongan Tahunan Negeri Sembilan.

Jelas beliau, tahun ini ia diadakan sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2022 telah berjaya menarik penyertaan daripada 158 pasukan bola sepak sawah lelaki dan wanita sebanyak 144 pasukan.

“Acara ini turut mendapat penyertaan pasukan dari negeri jiran seperti Selangor dan Kuala Lumpur serta pasukan yang jauh seperti Pahang, Terengganu, Perlis, Kedah dan Kelantan. Buat julung kalinya kami turut menerima penyertaan dari pasukan luar negara iaitu dari Kedutaan negara Bangladesh.

“Saya juga dimaklumkan oleh penganjur bahawa Kedutaan Jepun, Iraq dan Mesir telah menyatakan minat untuk menyertai Pesta Bola Ngoca Negeri Sembilan pada tahun hadapan. Kami sangat mengalu-alukan kedatangan perwakilan luar negara kerana ini merupakan satu titik permulaan bagi program ini untuk dijadikan sebagai acara antarabangsa,” katanya.

Aminuddin dalam pada itu berharap, agar dengan penyertaan dari pasukan antarabangsa ini dapat memupuk semangat penganjur program lain di daerah-daerah lain untuk meningkatkan taraf penganjuran ke peringkat antarabangsa terutamanya bagi menarik pelancong datang ke Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI