LUMUT – “Boleh kakak dan abang tinggal dengan opah, sebab ibu sudah meninggal (dunia).”
Itu permintaan mangsa kemalangan, Nur Aisyah Umairah Mohamad Adam, 6, kepada neneknya, Ropitah Din, 53, ketika wanita itu melawat kanak-kanak tersebut di Hospital Seri Manjung (HSM) di sini pagi ini.
Nur Aisyah Umairah yang menggelarkan dirinya kakak dan adiknya, Mohamad Hakimi Amsyar, 4, yang mesra dipanggil abang kini bergelar yatim piatu selepas kedua ibu bapa mereka meninggal dunia dalam kemalangan tersebut.
Pasangan suami isteri yang maut itu ialah Mohamad Adam Che Embi, 33, dan Nurhamizza Hamdan, 32. Selain itu kemalangan turut meragut nyawa anak bongsu mereka, Mohamad Aisy Hakim.
Tiga beranak itu terlibat nahas dua kenderaan di Jalan Kampung Koh-Segari berdekatan Jambatan Bainun di sini, malam tadi.
Nur Aisyah Umairah dan adiknya cedera di dada dan dahi. Mereka kini menerima rawatan di HSM.
Cerita Ropitah, pada mulanya, dia tidak sampai hati untuk memaklumkan mengenai pemergian tiga beranak tersebut kepada Nur Aisyah ketika ketika melawat dua cucunya di hospital.
“Tetapi tidak sangka Nur Aisyah tahu kematian ibunya ketika berada di lokasi kejadian. Dia (Nur Aisyah) sempat bertanyakan kepada orang awam yang menyelamatkan mereka ‘ibu sudah meninggalkan’?
“Dia kemudian beritahu mak cik, nanti opah hantar kakak dan abang (bersekolah) sekolah lama ibu, kakak mahu mengaji. Ada ke ustazah?,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik HSM hari ini.
Menurut Ropitah, dia dan suaminya, Hamdan Hamdi, 63, akan mengambil alih tanggungjawab menjaga dua cucunya itu.
Wanita itu akan membawa kedua-dua cucunya ke rumahnya yang terletak di Pengkalan Bharu, Pantai Remis selepas dibenarkan keluar hospital nanti. – KOSMO! ONLINE