SEJURUS sebelum sambutan hari kelahiran ke-27 tahun, seekor kucing di Britain telah diiktiraf secara rasmi sebagai kucing tertua yang masih hidup.
Meskipun kucing dikenali sebagai Flossie itu telah ‘tua’, namun haiwan tersebut masih cantik dan suka bermain.
Pada usia 26 tahun 316 hari yang bersamaan dengan 120 tahun umur manusia, haiwan yang memecahkan Guinness World Records itu masih berada dalam keadaan sihat, walaupun matanya sudah kabur dan pekak.
Kucing berwarna coklat dan hitam itu mempunyai perwatakan lembut, sukakan pelukan manja dan makanan serta tinggal di rumah yang berbeza sepanjang hayatnya.
Pemiliknya ketika ini, Vicki berkata, haiwan itu masih suka bermain, sentiasa ingin tahu dan tidak terganggu oleh masalah penglihatan serta pekak dialaminya.
Malah, haiwan itu cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
“Setiap hari anda boleh melihat Flossie meringkuk di bawah selimut kuning kegemarannya. Ia tidur siang sambil berdengkur dan sering menikmati semangkuk besar makanan yang enak.
“Ia tidak pernah memalingkan mulutnya apabila berpeluang menikmati makanan yang enak,” ujar Vicki.
Perjalanan Flossie untuk mengesahkan rekod sebagai kucing tertua bermula pada Ogos lalu apabila ia diserahkan kepada Cats Protection iaitu sebuah badan amal kebajikan kucing terkemuka di Britain.
“Kami terkejut apabila melihat rekod doktor haiwan Flossie yang menunjukkan ia sudah berumur 27 tahun.
“Ia adalah kucing tertua yang pernah saya temui iaitu bersamaan 120 tahun usia manusia,” kata Naomi Rosling yang merupakan penyelaras cawangan Cat Protection.
Hakikatnya, masa depan Flossie berubah dan menjadi tidak menentu selepas kehilangan tempat tinggal pada awal tahun ini.
Hal ini kerana orang ramai lebih suka mengambil kucing muda dan Flossie ditakdirkan untuk kekal bersama Cats Protection.
Flossie berkemungkinan serius untuk menghabiskan sepanjang hayatnya mencari rumah baharu.
Bagaimanapun, Flossie bernasib baik apabila mendapat penjaga baharu tidak lama kemudian.
Kisah Flossie bermula pada Disember 1995, apabila dipelihara oleh seorang pekerja hospital di Merseyside.
Pada masa itu, Flossie berkeliaran seperti kucing liar dan tinggal bersama koloni kucing lain berhampiran hospital berkenaan.
Selepas beberapa bulan menjalani hidup sebagai kucing liar, Flossie mendapati hidupnya dikelilingi kasih sayang, makanan yang sedap dan mainan.
Flossie tinggal di situ sehingga pemiliknya meninggal dunia sepuluh tahun kemudian.
Selepas itu, Flossie dipelihara oleh kakak pemiliknya pula.
Malangnya, selepas 14 tahun tinggal bersama kakak pemiliknya, kucing itu sekali lagi memerlukan penjaga baharu.
Ia selepas kakak pemiliknya meninggal dunia dan Flossie ketika itu telah berusia 24 tahun.
Nasib Flossie baik apabila anak lelaki kepada pemilik keduanya memutuskan untuk menjaganya sebaik mungkin.
Flossie tinggal bersama dengan tuan baharunya itu selama tiga tahun.
Bagaimanapun, pilihan sukar terpaksa dibuat oleh penjaganya apabila dia berhadapan dengan situasi sulit untuk terus memelihara Flossie.
Akhirnya, penjaganya itu membuat keputusan menyerahkan Flossie kepada sukarelawan perlindungan kucing.
Penjaganya itu menyedari bahawa dia tidak dapat memenuhi keperluan Flossie sehingga membuat pilihan menyerahkan haiwan itu kepada badan amal penjagaan.
“Ia bukanlah satu keputusan yang mudah bagi saya. Dia (pemiliknya) meminta bantuan kami untuk kepentingan Flossie,” jelas Naomi.
Selepas itu, Flossie telah bertemu dengan Vicki yang merupakan penjaganya sehingga kini.