PETALING JAYA – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah meninggalkan parti itu adalah tindakan yang tepat.
Menurut Ahmad Zahid, walaupun keputusan itu dianggap sukar, ia tetap perlu dilakukan demi memastikan masa depan negeri Sabah serta kepentingan rakyatnya terjaga.
“Keputusan yang tepat diambil oleh pemimpin-pemimpin Sabah.
“Keputusan yang sukar namun tetap dilakukan demi masa depan negeri dan kepentingan rakyat,” katanya ringkas menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan landskap politik negara ketika ini terutama di Sabah.
Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah memberitahu, semua bekas ahli Bersatu termasuk beliau akan menubuhkan sebuah parti tempatan baharu dan buat masa ini kesemua mereka secara kolektif akan menjadi ahli GRS. – KOSMO! ONLINE