KOTA BHARU – Kebanyakan peniaga sayur-sayuran di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini mengeluh selepas tersepit dengan harga bekalan yang tinggi daripada pemborong.
Keadaan itu didakwa berlaku akibat musim tengkujuh apabila mereka terpaksa menaikkan harga jualan sayur sehingga dua kali ganda sejak seminggu lalu.
Tinjauan Kosmo! Ahad di RTC Tunjong mendapati harga sayur-sayuran seperti sawi, cili dan kailan meningkat sehingga menyebabkan orang ramai kurang membeli bahan mentah itu.
Seorang peniaga, Idris Mamat, 45, berkata, dia sebelum ini menetapkan sawi dan kailan pada harga RM3.50 sekilogram kini menjual kedua-dua sayur-sayuran itu pada harga RM7.
Ujarnya, dia tidak boleh lari daripada menaikkan harga kerana pemborong sudah meletakkan harga mahal kepada peniaga RTC Tunjong.
“Keadaan itu menyebabkan kebanyakan pengguna merungut apabila sampai ke sini.
“Ada antara mereka membeli pada kuantiti yang sedikit, namun kebanyakannya tidak mahu membeli sayur-sayuran,” katanya ketika ditemui semalam.
Seorang peniaga, Rosman Abdullah, 55, berkata, harga timun yang ditetapkan ketika ini adalah RM16 untuk 7 kilogram dan ia menunjukkan peningkatan apabila harganya RM10 beberapa bulan lalu.
Menurutnya, bekalan sayur-sayuran di gerainya dibeli daripada pemborong di Pasir Puteh dan Bachok, dekat sini.
“Ada beberapa jenis sayur import yang kita peroleh daripada pemborong dari Thailand seperti cili dan tomato. Harga yang ditetapkan semua pemborong ketika ini tinggi dan mereka jadikan alasan sayur kurang semasa musim tengkujuh,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Hasnah Che Soh, 57, berkata, dia mengakui jualan di gerainya merosot kebelakangan ini kerana harga sayur meningkat mendadak.
“Orang ramai lebih berminat untuk membeli ulam-ulaman kampung seperti kacang botol, ulam raja dan pucuk paku sebagai sayur-sayuran kerana lebih murah iaitu dijual pada harga RM1 hingga RM2 seikat,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan di RTC Tunjong, Zidah Mat, 40, berkata, dia juga lebih berminat untuk membeli ulam-ulaman kerana harganya lebih berpatutan berbanding sayur-sayuran lain. -KOSMO! ONLINE