LANGKAH beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir terhenti di separuh akhir selepas ditundukkan juara dunia tiga kali dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan semalam.
Pada aksi yang berlangsung di Nimibutr Arena itu, Ee Yi-Yew Sin akur dengan kekalahan tiga set 21-17, 13-21, 19-21 meskipun bermula sangat baik dengan mendominasi set pertama.
Bagaimanapun, mereka gagal menyekat kebangkitan pemenang pingat emas Sukan Asia 2014 yang menampilkan aksi lebih agresif sebaik sahaja set kedua bermula, sekali gus menyaksikan Ahsan-Setiawan memenangi dua set berikutnya.
Yew Sin berkata, mereka mampu mengekang asakan beregu No.6 dunia itu pada set pertama memandangkan tidak terlalu terikut-ikut corak permainan lawan yang gemar bermain secara ‘drive’.
“Pada set pertama, kami bermain lebih tenang kerana dapat menghalang Ahsan-Hendra (Setiawan) menampilkan corak permainan sebenar mereka. Kami tahu mereka berdua memiliki kelebihan jika bermain ‘drive’.
“Bagaimanapun, memasuki set kedua, kami mula terikut-ikut rentak permainan mereka selain agak kelam-kabut, tidak seperti di set pertama. Sepanjang perlawanan, kami hanya fokus pada aksi sendiri dan langsung tidak fikir mengenai mereka,” katanya.
Sementara itu, Ee Yi pula menganggap Ahsan-Setiawan menggunakan pengalaman serta kelebihan bermain di jaring sehingga berjaya memerangkap mereka untuk memberikan pukulan tinggi.
“Apa yang saya boleh katakan mereka memiliki kelebihan bermain di jaring dan mereka memanfaatkannya. Kami terpaksa membalasnya dengan pukulan tinggi dan ia beri peluang untuk mereka melakukan smash,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE