MENJALANI kehidupan dengan kecanggihan teknologi dan liputan meluas media sosial menjadi cabaran baharu yang terpaksa dilalui masyarakat hari ini.
Bahkan, media sosial juga menjadi antara penyumbang kepada masalah kesihatan mental apabila dengan mudah berita-berita palsu dilayangkan, termasuk kecaman ‘menikam jiwa’ yang dilontarkan netizen secara maya.
Golongan selebriti misalnya antara mangsa yang tidak pernah terlepas daripada menjadi perhatian masyarakat yang sentiasa bersedia untuk melancarkan ‘serangan’ jika terdapat perkara tidak enak pada mata mereka.
Bagi pelakon dan juga pengacara terkenal, Nabila Huda, dia menyifatkan kehidupan selebriti hari ini sangat menakutkan apabila perlu berdepan dengan kerakusan netizen menghentam golongan artis berserta kata-kata kejam sehingga meninggalkan kesan terhadap kesihatan mental.
“Saya bernasib baik sebenarnya sebab masuk dalam industri sebelum adanya media sosial. Saya muncul ketika zaman surat khabar. Bila lihat situasi yang perlu dilalui artis baharu hari ini, saya rasa takut.
“Macam mana mereka hendak lalui situasi seperti ini? Tidak mustahil ada sesetengah mereka (selebriti) berdepan masalah depresi,” katanya kepada Pose.
Pelakon yang mesra disapa Abil itu bagaimanapun tidak menafikan dirinya turut menjadi sasaran netizen, namun mengambil pendekatan ‘persetankan’ sahaja komen-komen yang boleh menjejaskan emosinya.
“Saya tak perlu membaca perkara yang boleh menimbulkan fitnah, jangan kisah dan jangan jawab. Teruskan kehidupan dan abaikan.
“Orang yang ambil tahu itulah yang membuatkan mereka lebih sakit. Jadi pedulikan mereka. Tapi mana yang okey dan beri nasihat baik, dengarlah,” katanya.
Abil juga tidak mempedulikan cerita merepek tentang dirinya yang terpapar dalam media sosial kerana lebih arif tentang diri sendiri.
Bahkan, selebriti berusia 37 tahun itu berpendapat netizen akan lebih memperkatakan satu keburukan berbanding 10 lagi kebaikan yang pernah dilakukan.
“Orang hanya akan bercakap tentang perkara buruk yang mereka nampak. Tapi mereka lupa tentang kebaikan yang pernah kita buat sebelum ini.
“Bukan sahaja selebriti, malah orang biasa juga melalui perkara sama. Kalau sekali buat kejahatan, orang akan lupa 10 lagi kebaikan yang pernah kita buat. Orang tidak akan nampak dan tetap bercerita tentang keburukan itu sampai mati,” jelasnya.
Pada masa sama, Abil menasihati masyarakat supaya tidak terlalu sibuk mengurus kehidupan orang lain kerana setiap insan berhak untuk menjalani kehidupan sendiri dengan gembira.
“Kita semua berhak untuk hidup gembira. Kalau apa pun orang cakap tentang kita, abaikan sahaja. Kenapa perlu sibuk dengan kehidupan orang lain?
“Kita akan fikir macam mana untuk betulkan kesalahan dan akhirnya menyebabkan kehidupan sendiri terganggu. Hidup ini singkat, ‘have fun’ (bergembiralah),” ujarnya.
Sempat menyampaikan pesan, Abil berharap agar setiap orang saling menyayangi dan jangan cepat menghukum.
“Sayangilah sesama sendiri. Janganlah membenci dan mengadili. Silap sikit, orang ‘judge’. Apa yang berlaku sekarang sangat menakutkan,” katanya.