PENGARAH Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky percaya tekanan yang dihadapi beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi faktor mereka tersingkir daripada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir di Bangkok, Thailand.
Juara dunia itu ditunjukkan jalan keluar seawal peringkat kumpulan selepas tewas ketiga-ketiga perlawanan menentang Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan (Indonesia), Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi (China) dan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Justeru, Rexy menyifatkan aksi yang ditampilkan Aaron-Wooi Yik pada kejohanan tersebut sebagai tidak konsisten meskipun pada awalnya mereka dijangka tidak berdepan banyak masalah untuk melangkah ke separuh akhir.
“Secara keseluruhan, prestasi mereka di sini tidak konsisten. Tekanan terlalu tinggi itu saya fikir tidak beri terlalu banyak kesan, cuma permainan mereka tidak lancar seperti biasa,” katanya.
Aaron-Wooi Yik dianggap sebagai salah satu beregu pilihan apabila hadir ke Bangkok dengan status juara dunia.
Rexy juga tidak menolak kemungkinan anak-anak buahnya itu terlampau yakin pada aksi pertama menentang Ahsan-Setiawan sehingga tewas.
“Mungkin juga (terlampau yakin). Selepas bertemu Ahsan-Hendra (Setiawan), permainan kurang menjadi dan mungkin itu membuatkan mereka sedikit tertekan kerana perlu menang baki dua perlawanan,” ujar beliau.
Aaron-Wooi Yik kini memiliki masa lebih kurang sebulan bagi melakukan persiapan menjelang kejohanan Terbuka Malaysia 2023 yang dijadualkan berlangsung 10 hingga 15 Januari depan.